X

Kindly register in order to view this article
!

Lebih 500 orang terbunuh di Myanmar

Lebih 500 orang didakwa terbunuh dalam tunjuk-tunjuk perasaan bagi membantah pihak tentera malkuakan rampasan kuasa tentera di Myanmar sejak 1 Februari lalu. - Foto AFP
A
A

YANGON - Lebih 500 orang terbunuh dalam tunjuk perasaan antirampasan kuasa tentera Myanmar yang menggulingkan kerajaan awam, kata sebuah kumpulan pemantau tahanan politik pada Selasa.

Menurut AFP, Persatuan Bantuan untuk Tahanan Politik (AAPP) menyatakan ia mengesahkan sejumlah 510 orang awam terkorban tetapi memberi amaran bahawa angka sebenar yang terbunuh kemungkinan lebih tinggi.

Tunjuk perasaan yang berlaku setiap hari itu di seluruh negara tersebut oleh para penunjuk perasaan tidak bersenjata dan berhadapan dengan tindakan penyuraian secara ganas oleh pasukan keselamatan yang melepaskan tembakan gas pemedih mata, peluru hidup serta peluru getah.

Pihak tentera melancarkan rampasan kuasa aman pada 1 Februari lalu selepas mendakwa pilihan raya umum yang dimenangi oleh parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) pimpinan Aung San Suu Kyi dicemari dengan penipuan.

Justeru, para penunjuk perasaan menuntut Suu Kyi, Presiden Myanmar, Win Myint dan beberapa pemimpin parti Liga Kebangsaan bagi Demokrasi (NLD) yang ditahan oleh junta tentera dibebaskan selain mengembalikan semula kuasa kepada pemerintah awam.

Pada Sabtu lalu, pihak tentera meraikan Hari Tentera dengan mengadakan perbarisan tentera di ibu negara, Naypyidaw.

Bagaimanapun, pada hari yang sama, sekurang-kurangnya 107 orang terbunuh termasuk tujuh kanak-kanak.

Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) akan mengadakan persidangan pada Rabu bagi membincangkan keadaan di negara tersebut, kata sumber-sumber diplomatik selepas Britain mendesak supaya satu sesi khas berkaitan isu Myanmar diadakan.

Amerika Syarikat (AS) turut menggantung perjanjian perdagangan dengan Myanmar manakala Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengesyorkan kesatuan global bersatu bagi meletakkan tekanan ke atas junta tentera selepas lebih 100 penunjuk perasaan terbunuh dalam keganasan di negara tersebut pada Sabtu lalu.

AS, Britain dan Kesatuan Eropah telah melaksanakan sekatan ekoran rampasan kuasa itu namun tindakan memerangi penunjuk perasaan secara ganas masih dilakukan oleh junta tentera Myanmar. - Agensi


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!