Peranan ESSCom masih relevan, jamin keselamatan rakyat Sabah

No Image Caption
A
A
A

KOTA KINABALU - Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCom) masih relevan kerana rakyat terutama di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZone) amat memerlukan agensi itu yang berperanan dalam mengekal dan meningkatkan tahap keselamatan demi kesejahteraan hidup mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif ESSCom Dr Jamaluddin Mohd Ali berkata, sejak penubuhan ESSCom lapan tahun lepas, rakyat Sabah berasa lebih selamat dengan kewujudan agensi tersebut di kawasan mereka, yang jelas menggalas peranan cukup besar dalam mengekang sebarang ancaman termasuk jenayah rentas sempadan.

“Apabila (sebelum ini) ada ura-ura mengatakan ESSCom nak ditutup, mereka (rakyat) agak risau. Tetapi, dengan pengekalan semula ESSCom mereka berasa gembira, selamat dan yakin.

“Baru-baru ini, Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Hamzah Zainuddin) ketika melawat ESSCom turut mengatakan agensi ini akan dikekalkan, diperkukuhkan dan diperkasakan. Menteri juga meluluskan peruntukan RM1 juta untuk menambah baik kemudahan pasukan keselamatan di sepanjang ESSZone.

“ESSCom akan menggunakan sebaiknya peruntukan itu dalam usaha meningkatkan lagi moral pasukan keselamatan kita,” katanya kepada Bernama, di sini baru-baru ini.

Dalam pada itu, Jamaluddin berkata, ESSCom akan meneruskan aktiviti mendekati rakyat yang sebelum ini tergendala berikutan pandemik Covid-19, selain merencanakan beberapa program baharu bagi memperkasakan serta memperkukuhkan lagi peranan agensi berkenaan.

Beliau berkata, program kemasyarakatan itu amat penting sebagai usaha merapatkan lagi hubungan antara rakyat dan ESSCom kerana kerjasama antara kedua-duanya perlu untuk memastikan tahap keselamatan sentiasa terpelihara.

“Jangan risau dengan pasukan keselamatan, silalah beri kerjasama kerana kewujudan mereka di sini adalah untuk menjaga keselamatan kita. Sentiasa salur maklumat kepada pasukan keselamatan tentang sebarang anasir daripada negara asing yang boleh menggugat keselamatan.

Artikel Berkaitan:

“Jika tiada perkara tidak betul dilakukan jangan takut (memberi maklumat kepada pasukan keselamatan) kerana pasukan keselamatan pun ada undang-undang.

“Pentingkan keselamatan komuniti kita dengan memberi kerjasama (dengan pasukan keselamatan). Sifat mementingkan diri harus dibuang kerana kita hidup dalam satu komuniti besar. Setiap daripada kita mempunyai peranan untuk memastikan kita dapat hidup dengan rukun dan damai. Sayangi dan cintailah negara kita,” kata Jamaluddin.

Mengulas sambutan sempena ulang tahun kelapan penubuhan ESSCom pada 1 April ini, Jamaluddin berkata, acara yang akan diadakan adalah platform untuk memperingati pengorbanan para perwira mempertahankan kedaulatan negara dalam peristiwa pencerobohan pengganas pada 2013 lepas.

Beliau berkata, sambutan ulang tahun itu juga akan diisi dengan beberapa program termasuk perhimpunan warga ESSCom, memperbaiki rumah-rumah daif penduduk selain menyantuni balu anggota pasukan keselamatan.

ESSCom ditubuhkan pada 1 April 2013 susulan insiden pencerobohan pengganas Sulu di Tanduo, Lahad Datu, pada awal tahun sama.

Agensi itu dipertanggungjawab menyelaras operasi pelbagai agensi keselamatan dan pertahanan seperti Polis Diraja Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dalam memelihara keselamatan rakyat Sabah di ESSZone.

ESSZone merangkumi kawasan perairan Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Lahad Datu, Kunak, Semporna dan Tawau. - Bernama