KDEB Waste Management buka pusat kitar semula kedua di Selangor

Sze Han (kanan) melihat sisa kitar semula yang ditimbang di pusat kitar semula di Bandar Bukit Puchong pada Isnin.
Sze Han (kanan) melihat sisa kitar semula yang ditimbang di pusat kitar semula di Bandar Bukit Puchong pada Isnin.
A
A
A

SUBANG JAYA - Sebuah kawasan yang pernah menjadi tapak pembuangan sampah haram di Jalan BP 4/1 di Bandar Bukit Puchong kini dijadikan pusat kitar semula yang dibina oleh KDEB Waste Management.

Pengarah Urusannya, Ramli Mohd Tahir berkata, pusat kitar semula itu mula beroperasi Oktober lalu dan merupakan pusat kitar semula kedua dibuka selepas Klang.

Menurutnya, ia bertujuan membantu mengurangkan jumlah sampah yang dihantar ke pusat pelupusan, sekali gus dapat menjimatkan kos pelupusan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT)

“Selain itu pembinaan pusat kitar semula ini diharap dapat mengurangkan sampah longgok dan haram serta mendidik masyarakat tentang kepentingan kitar semula.

“Antara sampah yang boleh dikitar semula di pusat ini termasuk kertas plastik, aluminium, sisa elektronik yang akan dimampatkan sebelum dijual kepada pembeli yang dikenal pasti,” katanya pada Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bandar Bukit Puchong pada Isnin.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Hadir sama, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya, Noraini Roslan dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Setia, Halimey Abu Bakar.

Dalam pada itu, Ramli berkata, beliau menyasarkan kutipan di pusat kitar semula itu dapat ditingkatkan kepada 10 tan sehari berbanding lima ke enam tan buat masa ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau yakin jumlah tersebut mampu dicapai memandangkan penduduk Subang Jaya mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap amalan kempen kitar semula.

“Dalam tempoh lima bulan sejak November lalu, sebanyak 360 tan sisa kitar semula telah dikutip menggunakan antara 13 ke 18 lori sehari.

“Saya yakin jumlah itu mampu ditingkatkan jika bilangan lori ditambah ke 30 ke 40 unit sehari. Setakat ini kutipan dilakukan setiap hari di kawasan komersial dan industri sementara tiga hari seminggu di kawasan perumahan,” katanya.

Sementara itu, Sze Han berharap pusat kitar semula dengan kerjasama KDEB Waste Management dan MBSJ itu dapat diperluaskan ke PBT-PBT yang lain.

“Elok juga PBT lain lakukan usaha sama seperti ini dengan perbanyakkan aktiviti kitar semula di seluruh Selangor. Kalau kita tak menggiatkan lagi aktiviti ini setiap hari kita perlu hantar 70,000 metrik tan sisa pepejal ke tapak pelupusan.

“Kalau situasi sama dikekalkan dalam tempoh 30 tahun, setiap tahun kita memerlukan 60 ekar (24.3 hektar) tanah sebagai tapak pelupusan sampah. Jadi program kitar semula adalah perkara penting, saya seru semua PBT untuk tambahkan lagi aktiviti kitar semula,” katanya.