Hijrah Selangor salur RM554.54 juta pinjaman bantu 70,752 usahawan

Dari kiri: Mohamad Suparadi, Amirudin dan Rodziah (kanan) menyerahkan simbolik mock-up check Skim Pembiayaan Go Digital.
Dari kiri: Mohamad Suparadi, Amirudin dan Rodziah (kanan) menyerahkan simbolik mock-up check Skim Pembiayaan Go Digital.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Hijrah Selangor (Hijrah Selangor) berjaya menyalurkan pinjaman kewangan sebanyak RM554.54 juta kepada seramai 70,752 peminjam terdiri daripada usahawan kecil dan sederhana sejak penubuhannya pada 2015.

Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, kerajaan negeri memperuntukkan sebanyak RM30 juta pada tahun ini bagi program di bawah Hijrah Selangor, iaitu Skim Mikrokredit, Skim Pembiayaan Zero to Hero dan dua skim baharu iaitu Skim Pembiayaan Go Digital dan Skim Niaga Darul Ehsan (NaDi).

Menurutnya, seramai 57,211 usahawan menerima manfaat sepanjang pelaksanaan program tersebut.

“Sambutan menggalakkan terhadap skim ditawarkan oleh Hijrah Selangor adalah bukti kemampanannya sebagai unit bantuan peminjam dan sokongan yang boleh menjana pendapatan kepada masyarakat serta mampu berdiri di kaki sendiri.

“Saya harap dengan adanya kedua-dua skim tersebut, ia dapat membantu usahawan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 untuk terus bangkit dan meningkatkan jumlah usahawan di bawah Hijrah Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Kerajaan Negeri Selangor sempena Sambutan Yayasan Hijrah Selangor ke-6 di Perbadanan Perpustakaan Awam Selangor (PPAS), Seksyen 13, di sini pada Isnin.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Seri Mohamad Suparadi Md Noor berkata, dua skim baharu iaitu Skim NaDi dan Skim Pembiayaan Go Digital diperkenalkan untuk membantu usahawan terkesan akibat pandemik di samping memacu mereka ke arah transformasi digital.

Mohamad Suparadi yang baru memegang jawatan tersebut menjelaskan pihaknya akan bekerjasama dengan Food Panda untuk mengedarkan makanan dan memberi peluang kepada peniaga dari rumah kerana tidak semua orang boleh berniaga di luar atau keluar rumah ketika pandemik ini.

Katanya, mereka yang berminat menyertai skim tersebut boleh datang ke Hijrah Selangor yang mempunyai 20 cawangan di seluruh Selangor selain cuba mempercepatkan proses permohonan memandangkan Ramadan hampir tiba.

Artikel Berkaitan:

“Kita ingin mewujudkan satu ekosistem baharu yang mana saya memperkenalkan satu konsep iaitu kompas keusahawanan supaya semua peniaga di bawah Hijrah Selangor mempunyai hala tuju jelas dan tidak tersasar.

“Saya ingin membawa satu paradigma baharu yang mana kita bukan sahaja memberikan pinjaman tapi melahirkan usahawan yang berjaya,” katanya.

Pelaksanaan program Sesi Ramah Mesra Bersama Penggerak Kerajaan Negeri Selangor sempena Sambutan Yayasan Hijrah Selangor ke-6 pada Isnin itu diadakan bersama Agensi Pelaksana Program Kerajaan Negeri Selangor bagi berkongsi maklumat berkenaan Hijrah Selangor dalam usaha menyalurkan bantuan kepada rakyat.

Selain sesi menandatangani surat tawaran dan penerimaan lantikan sebagai syarikat peneraju Skim Pembiayaan Go Digital oleh syarikat Selangor Industrial Corporation dan Food Panda, sesi penyampaian sijil kepada usahawan Hijrah Selangor turut diadakan.

Di samping itu, Hijrah Selangor turut menjalinkan kerjasama dengan dua rakan usahawan iaitu PPAS bagi menyediakan fasiliti dan kemudahan kepada pihak Yayasan menjalankan latihan usahawan secara dalam talian dan Team Selangor.