X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 27 Oktober 2021

Masanya Azizul bawa pulang emas Olimpik

Azizulhasni dan Shah Firdaus bakal menggalas cabaran Malaysia pada Olimpik Tokyo 2020.
A
A

JAGUH lumba basikal negara, Azizulhasni Awang tetap menjadi calon pilihan utama untuk membawa pulang pingat emas pertama Sukan Olimpik Tokyo 2020 di Izu Velodrome menerusi acara kegemarannya, keirin.

Demikian rumusan Setiausaha Agung Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Ashakari Abu Noor yang tetap menganggap The Pocketroketman sebagai pelumba trek nombor satu Malaysia ketika ini.

Beliau menganggap kemenangan Muhammad Shah Firdaus Sahrom dalam acara keirin dalam Kejohanan Trek Kebangsaan Australia di Brisbane pada Ahad tidak boleh dijadikan satu indikator tepat tentang situasi terkini menjelang temasya Olimpik Julai depan.

“Apabila Shah sudah berada di depan (pada final acara keirin), memang wajar Azizulhasni memperlahankan kayuhannya ketika itu. Ini kerana Shah sudah berada agak jauh di depannya,” katanya kepada Sukan Sinar pada Isnin.

Pada saingan final keirin di Velodrom Ana Meares, Shah Firdaus membuktikan kehandalannya apabila menewaskan Azizulhasni yang menduduki tempat kedua manakala pelumba Australia, Matthew Richardson merangkul posisi ketiga.

Namun, Ashakari percaya kelebihan kini memihak Azizulhasni kerana mempunyai rakan sepasukan yang boleh membantunya untuk menggapai impian membawa pulang pingat emas Olimpik pertama buat Malaysia.

Ashakari
Ashakari

Pada masa sama, beliau optimis pengalaman yang dimiliki Azizulhasni selepas kejayaan muncul juara dunia pada 2017 pasti memberi kelebihan kepada pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu.

“Azizulhasni lebih tenang ketika ini kerana faktor usia dan pengalaman luas berlumba pada kejohanan peringkat besar, misalnya Sukan Olimpik. Apatah lagi Azizulhasni pernah membawa pulang pingat gangsa pada Sukan Olimpik 2016 di Rio de Janeiro.

“Jadi masih meletakkan sasaran bahawa Azizulhasni ialah pilihan utama untuk membawa pulang pingat emas menerusi mana-mana acara sama ada keirin atau pecut individu,” ujarnya.

Ashakari berkata, pihaknya akan sentiasa memantau prestasi Azizulhasni dan Shah Firdaus demi merealisasikan impian membawa pulang emas pertama Sukan Olimpik.

“Bagi tujuan itu, kita sedang bekerjasama dengan MSN (Majlis Sukan Negara) dan beberapa pihak tertentu bagi mengadakan kejohanan simulasi Sukan Olimpik pada Mei nanti.

“Pada kejohanan tersebut, kita akan tugaskan komisar, pegawai, alat rakaman masa dan beberapa kelengkapan lagi bagi memastikan perlumbaan ini umpama Sukan Olimpik,” jelasnya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!