X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 07 Disember 2021

[EKSKLUSIF] Air oh air: Peniaga pening kepala

Selangor sering mengalami gangguan bekalan air bersih melibatkan kes pencemaran dan penyelenggaraan infrastruktur berkaitan loji serta paip.
A
A

SHAH ALAM - Beberapa peniaga di Seksyen 23 di sini mengeluh berikutan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu di Persiaran Selangor, Seksyen 15 yang mengakibatkan gangguan bekalan air selama 48 jam di 30 kawasan di daerah Petaling, Shah Alam dan Klang turut menyebabkan perniagaan mereka terjejas.

Seorang pengusaha cuci kereta, Muhd Rizal Hakim, 41, berkata, gangguan bekalan air itu menyebabkan premisnya terpaksa ditutup pada Selasa sekali gus berdepan kerugian akibat tidak boleh beroperasi.

Menurutnya, keadaan bertambah sukar apabila sektor perkhidmatan itu juga tidak dibenarkan beroperasi sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dilaksanakan.

“Saya akan kerugian sebanyak RM200 sekiranya tak buka kedai cuci kereta sehari. Bayangkan terpaksa tutup dua atau tiga hari, sudah tentu memberi kesan yang teruk.

“Ketiadaan air memberi kesan kepada peniaga terutama membabitkan penggunaan sumber itu.

“Kami hanyalah peniaga kecil yang bergantung kepada hasil jualan harian untuk membayar gaji pekerja dan komitmen operasi lain seperti sewa kedai,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Isnin.

Muhd Rizal
Muhd Rizal

Seorang peniaga kedai makan, Zainab Abd Rahman, 63, berkata, kedainya hanya mampu beroperasi sehari sahaja sekiranya berlaku gangguan bekalan air.

Zainab berkata, dia sudah jemu dengan isu ketiadaan bekalan air dan berharap ada jalan penyelesaian menangani perkara tersebut.

“Hendak simpan tong banyak pun perlukan ruang kedai besar. Setakat sehari bolehlah, tetapi kalau memakan masa dua atau tiga hari sudah tentu menyusahkan kami,” katanya dalam nada risau.

Zainab juga berharap gangguan bekalan air tahun lalu tidak berulang lagi seperti mana pada tahun ini.

“Cukuplah tahun lalu kami terpaksa tutup kedai berhari-berhari lamanya akibat masalah ini dan berharap perkara sama tidak lagi berlaku,” katanya.

Tegas Zainab, pendapatannya hanya bergantung kepada perniagaan yang diusahakan kira-kira 30 tahun lalu.

Zainab bimbang ketiadaan bekalan air dalam tempoh lama menjejaskan perniagaan kedai makannya di Shah Alam, Selangor.
Zainab bimbang ketiadaan bekalan air dalam tempoh lama menjejaskan perniagaan kedai makannya di Shah Alam, Selangor.

“Kalau selalu tutup, macam mana saya mahu bayar gaji pekerja dan sewa kedai RM4,000 sebulan. Kalau boleh Air Selangor dapat mencari jalan penyelesaian menangani masalah ini,” katanya.

Air Selangor sebelum ini memaklumkan, gangguan bekalan air berjadual selama 48 jam di lima kawasan di Wilayah Petaling, 14 kawasan di Wilayah Klang dan 12 kawasan di Wilayah Shah Alam bagi menjalankan kerja-kerja pengalihan dan penyambungan paip baharu bermula 30 Mac 2021.

Kerja-kerja tersebut bermula jam 9 pagi, Selasa dan bekalan air dijangka pulih sepenuhnya pada jam 9 pagi pada hari Khamis ini.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!