Militia maritim cetus konflik di Laut China Selatan

Kepulauan Spratly di Laut China Selatan menjadi rebutan antara China dengan beberapa buah negara yang menganggotai Asean termasuk Malaysia. - Foto AFP
Kepulauan Spratly di Laut China Selatan menjadi rebutan antara China dengan beberapa buah negara yang menganggotai Asean termasuk Malaysia. - Foto AFP
A
A
A

PADA Ahad lalu, Jepun dan Indonesia dilaporkan mencapai satu persetujuan untuk menghantar mesej kepada dunia tentang Laut China Selatan dan Laut China Timur.

Mesej yang hendak disampaikan itu ialah Tokyo dan Jakarta menentang kuat sebarang tindakan China yang mampu meningkatkan ketegangan di kedua-dua laut tersebut.

Pertemuan itu diadakan di Tokyo itu melibatkan Menteri Pertahanan Jepun, Nobuo Kishi dengan rakan sejawatannya dari Indonesia, Prabowo Subianto.

Dalam pertemuan itu, kedua-dua mereka juga bersetuju untuk meningkatkan latihan ketenteraan antara Jepun dengan Indonesia di Laut China Selatan.

Selama berdekad- dekad, China telah menuntut hak maritim ke atas hampir keseluruhan Laut China Selatan yang merupakan laluan perkapalan ke Asia Timur.

Kira-kira satu pertiga laluan perkapalan dunia melalui laut itu yang juga dipercayai kaya dengan sumber perikanan dan dipercayai mempunyai simpanan gas serta minyak dalam jumlah yang banyak.

Menurut portal berita The Conversation, Laut China Selatan merupakan kawasan yang luas dan merangkumi 3.6 juta kilometer iaitu dua kali ganda daripada saiz Teluk Mexico.

Gambar tidak bertarikh menunjukkan kapal-kapal maritim milik China di Terumbu Karang Whitsun dekat Palawan, Filipina di Laut China Selatan. Foto AFP
Gambar tidak bertarikh menunjukkan kapal-kapal maritim milik China di Terumbu Karang Whitsun dekat Palawan, Filipina di Laut China Selatan. Foto AFP

Artikel Berkaitan:

Sebuah kapal perang moden dilaporkan mengambil masa lebih tiga hari untuk belayar dengan kelajuan 30 knot dari utara Taiwan ke selatan laut itu di Selat Melaka.

Menurut portal CNBC Indonesia, Laut China Selatan mempunyai ratusan buah pulau dan antara yang paling besar ialah Kepulauan Spratly.

Beberapa pulau di Kepulauan Spratly yang dituntut China itu didakwa terletak dalam perairan Malaysia.

Taiwan dan China dilaporkan menuntut sepenuhnya kepulauan itu manakala Malaysia, Filipina, Vietnam dan Brunei menuntut sebahagian pulau di Kepulauan Spratly.

Kepulauan Paracel yang juga antara yang terbesar di laut itu terletak berhampiran Vietnam.

Dalam pada itu Kepulauan Pratas di dalam daerah Cijin, Taiwan di laut itu serta terletak dekat dengan Hong Kong turut dituntut oleh China.

Indonesia pula mempunyai sejarah perbalahan tuntutan di kawasan laut di utara Kepulauan Natuna yang mengandungi 272 pulau dalam wilayah Riau di selatan Laut China Selatan.

Peta menunjukkan Lautan China Selatan yang menjadi rebutan banyak negara antaranya Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia, Taiwan dan China.
Peta menunjukkan Lautan China Selatan yang menjadi rebutan banyak negara antaranya Malaysia, Vietnam, Filipina, Indonesia, Taiwan dan China.

Menurut portal berita Pikiran Rakyat, dua buah kapal tentera China memasuki perairan wilayah Jepun di Kepulauan Senkaku Laut China Timur pada 29 Mac lalu.

Kapal-kapal pengawal pantai negara Matahari Terbit itu kemudian memberi peringatan kepada kapal-kapal China tersebut supaya beredar meninggalkan perairan Jepun.

Dalam pada itu, pada Isnin minggu lalu, Filipina menggesa lebih 200 kapal China yang dikendalikan oleh militia-militia maritim China meninggalkan Terumbu Karang Whitsun di Kepulauan Spratly, 320 kilometer dari barat Palawan dalam perairan negara tersebut.

Kenyataan itu dibuat oleh Setiausaha Pertahanan Filipina, Delfin Lorenzana, baru-baru ini.

Kehadiran kapal-kapal China itu dibimbangi akan melakukan penangkapan ikan secara berlebihan dan menjejaskan terumbu karang serta mencetuskan risiko keselamatan.

Bagaimanapun, Beijing menegaskan kapal-kapal itu sedang berlindung ekoran keadaan laut yang sedang bergelora.

Seorang penyelidik kanan dari Kajian Antarabangsa Sekolah S Rajaratnam, Singapura, Colin Koh berkata seperti dilaporkan oleh portal berita South China Morning Post yang mendakwa kehadiran kapal-kapal itu mungkin sudah diatur oleh China.

Menurutnya, Beijing kemungkinan mahu menguji tindak balas Filipina dan apakah kesannya terhadap kehadiran kapal-kapal dari China itu di perairan negara tersebut.

Menurut Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS), militia maritim itu merupakan anggota-anggota Pasukan Bersenjata Rakyat Militia Maritin (PAFMM).

Ia memainkan peranan penting dalam strategi untuk memperkukuhkan tuntutan wilayah China di Laut China Selatan dan Laut China Timur, lapor The Rand Blog. - Agensi