‘Sila bagi tarikh untuk letak jawatan’

Muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,Wan Saiful Wan Jan, Mohd Redzuan
Muka depan Sinar Harian pada Isnin. Gambar kecil dari kiri: Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal,Wan Saiful Wan Jan, Mohd Redzuan
A
A
A

SHAH ALAM - UMNO perlu meletakkan tarikh untuk ahli-ahli mereka dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN) meletak jawatan sebagai menteri, timbalan menteri dan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC).

Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, perkara yang mahu dirancang oleh UMNO perlulah mempunyai tarikh kerana ia melambangkan kecerdikan dalam perancangan itu sendiri.

“Mereka harus buat keputusan. Hendak letak jawatan minggu depan, tahun depan...mereka harus perjelaskan supaya kita faham kedudukan mereka.

“Dia sebut letak jawatan, OK letak jawatan. Jangan cakap lain, buat lain,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau mengulas Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2020 pada Ahad yang meluluskan usul supaya Presiden dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO diberi mandat menentukan tempoh menarik diri daripada kerajaan PN.

Redzuan yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas) berkata, UMNO perlu membuat kedudukan mereka dalam Kabinet secara jelas.

“Kalau dia (UMNO) tidak membuat kedudukan jelas, terumbang ambing, macam mana kita mahu buat kerja kita? Bukankah elok mereka buat keputusan. Senang Perdana Menteri nak berbuat sesuatu,” katanya.

Ahli Parlimen Alor Gajah itu turut mengkritik UMNO bahawa semasa penubuhan kerajaan PN, parti tersebut menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri.

Artikel Berkaitan:

Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal pula berkata, Bersatu hanya menunggu apa yang ingin dilakukan UMNO.

“Kalau betul nak tarik diri, kita tunggu dan akan bertindak sesuai dengan tindakan mereka,” katanya.

Tegasnya, keputusan UMNO untuk keluar daripada kerajaan pada bila-bila masa juga membuatkan kerajaan menjadi tidak stabil dan menghilangkan keyakinan pelabur.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu bagaimanapun berkata, Bersatu akan bermesyuarat untuk membincangkan kenyataan yang diucapkan pemimpin UMNO semasa PAU 2020 itu.

Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, pihaknya memahami suasana yang berlaku dalam PAU 2020 dan kebanyakan pemimpin UMNO bercakap mengenai kepentingan parti mereka.

“Itu hak mereka buat keputusan untuk serahkan kepada MKT mengenai penarikan diri daripada kerajaan PN.

“Tapi dalam Bersatu, kita kekal dengan keinginan untuk memastikan bahawa kesatuan parti-parti politik Melayu kekal. Kalau UMNO bertegas untuk berpecah, saya rasa itu bukan satu perkara yang bermanfaat bagi agenda politik Melayu Islam,” katanya.