Langkah strategik pengecilan tentera

No Image Caption
A
A
A

CADANGAN kerajaan Britain untuk mengecilkan sehingga 10 peratus keanggotaan tentera daratnya bukanlah satu keputusan yang mengejutkan kerana percaturan sedemikian kerap diamalkan oleh mana-mana negara yang membuat perkiraan berdasarkan keperluan semasa.

Mengikut strategi masa hadapan yang digariskan Kementerian Pertahanan Britain, keanggotaan tentera daratnya akan dikekalkan pada jumlah 72,500 menjelang tahun 2025 berbanding angka yang ditetapkan iaitu seramai 82,000 orang.

Ketika ini jumlah keanggotaan tentera darat Britain adalah kira-kira 76,500, bermakna pengecilan ini sebenarnya tidak melibatkan implikasi yang besar.

Pada masa sama, tentera darat Britain mempunyai seramai 30,500 tentera simpanan.

Pelaksanaan ini bakal menyaksikan perubahan drastik iaitu penstrukturan semula pasukan Royal Marine Commando sebagai ketumbukan komando masa hadapan bagi mengambil alih peranan unit elit Special Air Service dan Special Boat Service.

Pengecilan ini nanti bagaimana pun tidak menjejaskan keupayaan tentera darat Britain termasuk pembabitan dalam operasi di luar negara, sebaliknya menggandakan lagi kekuatan sedia menerusi penambahan aset-aset moden dan kelengkapan lebih baik menggunakan belanjawan sedia ada.

Dianggarkan peruntukan sebanyak £23 bilion akan dilaburkan dalam aspek keperluan teknologi termasuk menaik taraf kereta kebal Challenger dan kenderaan tempur Boxer.

Selain tentera darat, Britain mempunyai kira-kira 66,000 tentera udara dan laut dengan kedudukan sebagi kuasa ketenteraan kelapan terkuat di dunia dan ketiga di Eropah.

Artikel Berkaitan:

Pada masa sama, Kementerian Pertahanan Britain juga sedang mengikuti jejak langkah Amerika Syarikat, Rusia dan China untuk cenderung dalam bidang pertahanan angkasa lepas apabila memperuntukkan sebanyak £6.6 bilion bagi penyelidikan dan pembangunan sepanjang tempoh empat tahun.

Secara mudahnya, antara sebab pengecilan dilakukan adalah bagi mengimbangi perbelanjaan pertahanan kerana keperluan untuk membiayai sesebuah angkatan tentera profesional bukanlah kecil.

Malah, Britain telah beberapa kali melakukan penstrukturan semula kekuatan tenteranya sejak Perang Dingin berakhir pada tahun 1991.

Malaysia juga tidak terkecuali dalam melaksanakan penstrukturan semula pengecilan kekuatan tenteranya apabila membubarkan pasukan-pasukan tertentu atau digabungkan dengan unit sedia ada.

Peletakan senjata Parti Komunis Malaya pada 1989 misalnya menyaksikan batalion-batalion infantri diperkemaskan menerusi pengenalan konsep Batalion Infantri Standard (BIS) apabila keanggotaan batalion dikurangkan daripada kira-kira 1,000 kepada 550 anggota.

Berikutan itu beberapa buah batalion infantri telah dibubarkan antaranya Batalion ke-10 dan 11 Rejimen Renjer Diraja (RRD) serta Batalion ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD).

Konsep BIS lebih ampuh dengan menyaksikan daya tempur pasukan pada peringkat kecil digandakan menerusi penggunaan senjata bantuan seperti pelancar grenad berganda dan senjata antiarmor.

Keperluan telah mengubah strategi apabila 10 RRD diaktifkan kembali pada tahun 2008 diikuti 26 RAMD (2014), manakala 11 RRD dan 27 RAMD akan diwujudkan tahun ini di bawah naungan Briged Kelima Infantri di Sabah.

Biarpun ada penambahan unit-unit baharu seperti lima batalion Rejimen Sempadan di Sabah dan Sarawak sejak enam tahun lalu, namun Tentera Darat kekal signifikan dengan kekuatan kira-kira 80,000 anggota untuk menjaga kedaulatan negara.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 23 tahun lalu