Teruja hadiah rakan Facebook, peniaga rugi lebih RM12,000

Rahim
Rahim
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara teruja dimaklumkan mendapat hadiah yang dikirim oleh kenalan Facebooknya dari luar negara, seorang peniaga rugi lebih RM12,000 akibat tertipu oleh sindiket parcel scam.

Kejadian bermula selepas wanita berusia 33 tahun dari Kampung Atas Tol, di sini, menerima pesanan daripada kenalan Facebook dari United Kingdom yang kononnya hendak mengirim hadiah 'istimewa' kepadanya.

Jelas sumber, beberapa hari kemudian mangsa dihubungi pihak kargo yang memaklumkan hadiah dikirim terpaksa disekat kerana mengandungi duit dalam mata wang dolar.

"Mangsa diberitahu jika ingin menebus hadiah berkenaan, dia perlu memindahkan lebih RM3,000 ke dalam sebuah akaun sebelum berbuat demikian pada 4 Februari lalu.

"Namun, pada hari sama, sekali lagi mangsa diminta memasukkan lebih RM4,000 ke dalam akaun sama dan tanpa berfikir panjang, mangsa terus memenuhi permintaan itu," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata, empat hari kemudian, mangsa menerima panggilan sekali lagi agar memindahkan RM4,000 ke dalam akaun sama dengan alasan jumlah yang dimasukkan sebelum ini masih tidak cukup.

Sumber berkata, selepas memasukkan wang lebih RM12,000, mangsa baru tersedar dirinya sudah ditipu apabila pihak kargo masih meminta wang dengan memberi pelbagai alasan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Sinar Harian mengesahkan ada menerima laporan kejadian.

Artikel Berkaitan:

Kes berkenaan kini disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.