Sarung tangan tertentu Top Glove didakwa dihasilkan buruh paksa

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBP AS) mendakwa produk-produk tertentu oleh Top Glove Corp Bhd telah dihasilkan menerusi penggunaan buruh paksa atau terikat.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin, jabatan itu mendakwa produk sarung tangan pakai buang tertentu telah dihasilkan atau dibuat oleh pembuat sarung tangan getah dengan menggunakan buruh paksa dan diimport atau akan diimport ke AS.

“Penemuan ini terpakai bagi mana-mana barang dagangan yang dijelaskan dalam Seksyen II kenyataan ini yang diimport pada atau selepas 29 Mac 2021.

“Ia juga terpakai bagi barang dagangan yang telah diimport dan yang tidak dilepaskan daripada tahanan CBP sebelum 29 Mac, 2021,” menurutnya.

Menurut CBP AS, memetik Seksyen 307 Akta Tarif 1930, barang, barang-barang jualan, artikel, dan barang dagangan yang dilombong, dihasilkan atau dibuat sepenuh atau sebahagiannya di mana-mana negara asing oleh pekerja bersalah dan/atau buruh paksa di bawah sekatan penal tidak berhak untuk memasuki mana-mana pelabuhan AS, dan pengimportannya adalah dilarang.

Sementara itu, ketika dihubungi pada Isnin, pihak Top Glove enggan mengulas berhubung perkara itu.

15 Julai 2020, dilaporkan CBP AS telah mengeluarkan perintah tahan pelepasan ke atas sarung tangan pakai buang yang didakwa dibuat oleh buruh paksa di Malaysia oleh Top Glove.

Pada tahun lepas, Pengerusi Eksekutif Top Glove, Tan Sri Lim Wee Chai berkata, pihaknya berusaha menyelesaikan masalah itu.

Artikel Berkaitan:

Top Glove juga telah melantik pihak perunding untuk mengesahkan rancangan tindakan pembetulan yang dilaksanakannya bagi mengeluarkan kewujudan petunjuk buruh paksa daripada amalannya dan setakat Januari, perunding tersebut tidak menemui buruh paksa sistemik dalam Top Glove.

Pada penutupan dagangan Bursa Malaysia pada Isnin, saham Top Glove merosot 10 sen kepada RM5.05. - Bernama