Fama, Shopee lancar kempen hargai petugas barisan hadapan

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) dengan kerjasama platform e-dagang Shopee melancarkan kempen ‘Bouquet For Frontliners @ MAFI Prihatin’ yang memberi peluang rakyat Malaysia menyampaikan penghargaan kepada petugas barisan hadapan dalam memerangi penularan pandemik Covid-19.

Fama dalam kenyataan pada Isnin memaklumkan, rakyat Malaysia boleh menzahirkan penghargaan itu dengan membuat tempahan gubahan bunga bersama produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) di platform Shopee bermula 15 Mac hingga 15 April depan.

“Secara tidak langsung ia dapat membantu meningkatkan pendapatan pengusaha florikultur dan usahawan industri makanan yang terjejas ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan,” menurut kenyataan itu.

Menurut kenyataan itu, terdapat empat pakej produk ditawarkan iaitu Pakej Bouquet RM60, Pakej Bouquet RM100, Pakej Basket RM150 & Pakej Basket RM180 dan FAMA turut menawarkan baucar tunai sebanyak 16 hingga 20 peratus.

Belian adalah secara prapesanan dan akan dihantar kepada petugas barisan hadapan di lokasi ditetapkan di sekitar Lembah Klang seperti hospital yang disenaraikan oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Sementara itu, microsite eFama juga telah dibangunkan di platform Shopee.com dengan sebanyak 1,000 kedai dalam talian yang menjual produk agromakanan dan bungaan menyertai eFAMAPlace.

“Bagi usahawan yang belum memiliki kedai dalam talian, Fama dan Shopee.com akan menganjurkan bengkel secara dalam talian melalui Shopee Universiti untuk membimbing mereka membina dan mengurus kedai dalam talian tersebut.

“FAMA akan melaksanakan beberapa bentuk kempen dan program promosi untuk meningkatkan kesedaran pengguna dan seterusnya menjana nilai jualan kepada usahawan yang terlibat,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: