Kerja-kerja naik taraf 94 HAT bermula Julai ini

No Image Caption
A
A
A

MELAKA - Kerja-kerja menaik taraf 94 Hospital Angkatan Tentera (94 HAT) di Kem Terendak, Sungai Udang di sini akan bermula hujung Julai ini menerusi peruntukan sebanyak RM40 juta yang diumumkan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada 28 November lepas.

Bahagian Hal Ehwal Awam-J7, Markas Angkatan Tentera Malaysia dalam satu kenyataan media memaklumkan, Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Affendi Buang telah mengadakan lawatan kerja ke Kem Terendak di sini pada Isnin dengan tumpuan di 94 HAT dan ketumbukan pasukan 10 Briged Pada (10 Bgd Para).

"Bagi sesi lawatan beliau ke 94 HAT adalah bertujuan untuk melihat kemudahan serta mendapatkan perkembangan terkini rancangan kerja-kerja naik taraf yang bakal dilaksanakan oleh hospital berkenaan susulan dari sesi lawatan kerja yang telah dilaksanakan oleh Menteri Kanan Pertahanan pada 28 November yang lalu.

"Sepanjang lawatan di hospital berkenaan, beliau telah diberikan taklimat oleh Pegawai Memerintah 94 HAT, Brigadier general Dr Mohamed Hatta Manis dengan diiringi oleh Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan, Leftenan Jeneral Datuk Dr Md Amin Muslan," menurut kenyataan itu.

Affendi telah diberi taklimat berkenaan kerja-kerja naik taraf kemudahan di 94 HAT merangkumi dewan bedah, wad unit rawatan rapi (ICU), Jabatan Kecemasan, Jabatan Bekalan Steril (CSSD) dan pembinaan menara tangki air berkapasiti 450,000 gelen (2.05 juta liter), katanya.

Selain itu, penggantian dua lif penumpang, satu lif sisa klinikal dan satu lif ICU, sistem bekalan elektrik utama kompleks hospital melibatkan pembinaan pencawang elektrik baharu serta penggantian sistem janakuasa siap sedia, sistem melawan kebakaran di blok pembedahan, ICU, Dewan Bedah dan Jabatan Bekalan Steril serta sistem bekalan gas perubatan.

"Projek-projek ini juga berada di peringkat penilaian teknikal tender oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan dijangka akan bermula pada penghujung bulan Julai nanti selain peruntukan tersebut adalah bagi menampung keperluan semasa hospital berkenaan dalam menyediakan kemudahan kepada warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM), veteran dan juga komuniti setempat yang memerlukan," menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, bagi program lawatan kerja di 10 Bgd Para adalah bertujuan untuk melihat keupayaan atur gerak briged berkenaan sebagai salah satu elemen dalam Pasukan Aturgerak Cepat (PAC) ATM di samping mendapatkan perkembangan pembangunan ketumbukan berkenaan dalam semua perkara terutama aspek kesiagaan.

Artikel Berkaitan:

Affendi juga telah dipertontonkan dengan demonstrasi keupayaan tempur 10 Bgd Para seperti Penerjunan Bebas, Pertunjukan Tempur Tanpa Senjata, 'Tactical Combat and Casualty Care' (TCCC), Renang Tempur, Latihan Menara, 'Sniper Insertion', Tembakan Artileri Medan dan Pertahanan Udara, Serangan Seksyen sebelum diakhiri dengan 'Human Wave' ketumbukan 'Leading Parachute Battle Group' (LPBG).

Beliau turut dianugerahkan Beret Merun dan Sayap Penerjunan Kehormat yang disempurnakan oleh Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd Zain. - Bernama