APS desak kerajaan benarkan kemasukan pembantu rumah asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Agensi Pekerjaan Swasta (APS) mendesak kerajaan untuk membuka semula kemasukan pembantu rumah asing ke negara ini menerusi Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

APS dalam satu kenyataan berkata, industri berkenaan telah terjejas berikutan penutupan sempadan negara dan semua pemprosesan untuk pembantu rumah asing digantung.

“Kita telah mengalami kerugian yang serius sehingga ada yang gulung tikar disebabkan tiada sumber pendapatan untuk meneruskan perniagaan.

“Kita mahu memastikan negara dan rakyat selamat sehinggakan kita sabar menunggu berita yang lebih baik untuk membuka semula sempadan negara bagi kemasukan pembantu rumah asing.

“Malangnya, setelah menunggu hampir setahun, kita tidak melihat sebarang petanda daripada kerajaan untuk meneruskan aktiviti harian dan menerima sebarang bantuan daripada agensi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Tambah mereka, Jabatan Tenaga Kerja (JTK) perlu memainkan peranan yang lebih tegas dan efisien mengatasi masalah tersebut.

“Antara masalahnya ialah pelesenan APS yang mengambil masa yang terlalu lama.

“Memorandum Persefahaman (MoU) antara negara pembekal tenaga kerja yang telah dipersetujui oleh kerajaan sebelum yang tertangguh sejak tiga tahun lalu,” kata kenyataan tersebut pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, menurut kenyataan itu, pihaknya perlu membuka semula aktiviti pemprosesan permohonan pembantu rumah melalui Sistem Pengurusan Berpusat Pekerja Asing (FWCMS) yang dijalankan secara dalam talian.

“Pembukaan semula sistem Bestinet untuk calon pembantu rumah bagi pemeriksaan kesihatan dibenarkan di negara asal mereka.

“Penggunaan aplikasi MyTravel Pass JIM bagi kemasukan baharu pembantu rumah ke Malaysia kerana lebih efisien dan menyeluruh,” katanya.