Sabah capai sasaran suntikan vaksin Covid-19 fasa pertama

Masidi Manjun
Masidi Manjun
A
A
A

KOTA KINABALU - Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan peringkat negeri Sabah mencapai sasaran fasa pertamanya apabila seramai 42,292 individu terdiri daripada petugas barisan hadapan di negeri itu selesai menerima suntikan dos pertama vaksin Pfizer BioNTech.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Masidi Manjun yang juga jurucakap kerajaan negeri berkaitan Covid-19 berkata, sasaran itu dicapai selepas baki seramai 14 orang menerima suntikan vaksin dos pertama itu pada Isnin.

“Sabah masih meneruskan bagi dos kedua sehingga April. Setakat ini, seramai 11,406 orang telah menerima suntikan dos kedua vaksin Pfizer BioNTech, dan 2,716 orang daripadanya menerima suntikan berkenaan hari ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Mengenai perkembangan Covid-19 di Sabah, Masidi berkata, 34 kes positif baharu direkodkan pada Isnin menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 54,657 kes, dengan dua kematian dilaporkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Tawau.

Seramai 32 pesakit Covid-19 telah sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital, menjadikan jumlah kumulatif pesakit sembuh di Sabah seramai 53,809 orang, katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: