Keputusan UMNO tidak berapa ‘cantik’

Mas Ermieyati (kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Projek Sriwanis Shop, Nor Aina Zakaria di Peringat, Kota Bharu pada Isnin.
Mas Ermieyati (kanan) menerima cenderahati daripada Ketua Projek Sriwanis Shop, Nor Aina Zakaria di Peringat, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Srikandi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyifatkan keputusan muktamad UMNO tidak bekerjasama dengan parti itu sebagai tindakan yang tidak berapa 'cantik'.

Naib Ketuanya, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendirian Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamid tersebut boleh mengganggu kestabilan politik negara terutama ketika bergelut menangani pandemik Covid-19 serta usaha memulihkan ekonomi negara.

Beliau berkata, prinsip kerajaan Perikatan Nasional (PN) lebih kepada saling sefahaman dalam kebersamaan.

“Banyak masalah yang perlu diselesaikan ketika ini, dengan hal ekonomi, kesihatan dan sebagainya. Jadi, perkara semalam (Ahad) sedikit menggugat kestabilan politik yang saya nampak tidak berapa ‘cantik’.

“Dalam PN bukan hanya ada Bersatu atau Pas saja, tetapi menteri daripada UMNO pun ada. Tuduhan terhadap PN itu seperti berkata kepada diri sendiri.

“Ini bukan masa untuk meruntuhkan perpaduan. Lebih baik fokus pada rakyat. Hal semalam (Ahad) dirasakan tidak patut lebih-lebih lagi berlaku pada petang Nisfu Syaaban,” katanya kepada pemberita di Peringat di sini pada Isnin.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sebelum itu merasmikan Sriwanis Shop milik Koperasi Warga Kubang Kerian Kelantan Berhad pada Program Lawatan Kerja di Kampung Padang Mengkali di sini.

Mas Ermieyati bagaimanapun berkata, Srikandi Bersatu berlapang dada menerima penolakan pembentukan gabungan politik tersebut yang disampaikan dalam ucapan dasar Presiden UMNO ketika Perhimpunan Agung UMNO 2020 (PAU 2020) di Kuala Lumpur itu.

Artikel Berkaitan:

“Srikandi bertegas akan terus bersama pucuk pimpinan PN dalam melaksanakan agenda utama untuk berbakti kepada rakyat.

“Kami berlapang dada menerimanya dan meneruskan kerjasama dengan pihak lain yang mahu bekerjasama, itu lebih utama,” katanya.