UMNO putus kerjasama Bersatu: Menteri UMNO bertemu Muhyiddin

Kenderaan membawa menteri daripada UMNO keluar daripada bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada petang Isnin.
Kenderaan membawa menteri daripada UMNO keluar daripada bangunan Perdana Putra di Putrajaya pada petang Isnin.
A
A
A

PUTRAJAYA - Susulan keputusan UMNO memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), menteri daripada parti itu difahamkan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada petang Isnin.

Pertemuan itu diadakan di Pejabat Perdana Menteri di bangunan Perdana Putra di sini.

Antara yang dikenal pasti hadir ialah Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kenderaan yang membawa menteri-menteri berkenaan dilihat meninggalkan bangunan terbabit kira-kira jam 6.45 petang tanpa berhenti untuk bercakap kepada pemberita yang menunggu di luar pekarangan bangunan tersebut.

Dalam kabinet yang dipimpin Muhyiddin, terdapat 14 pemimpin UMNO dilantik sebagai Menteri dan Timbalan Menteri.

Selain Ismail, mereka ialah Tan Sri Annuar Musa (Menteri Wilayah Persekutuan), Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah (Menteri Tenaga dan Sumber Asli), Datuk Noraini Ahmad (Menteri Pengajian Tinggi), Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican (Menteri Belia dan Sukan), Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Luar Negeri) dan Khairy Jamaluddin Abu Bakar (Menteri Sains Teknologi dan Inovasi).

Muhyiddin turut melantik Datuk Halimah Mohamed Sadique sebagai Menteri Perpaduan Negara, sementara jawatan Menteri Kesihatan diberikan kepada Datuk Seri Dr Adham Baba.

Timbalan menteri pula ialah Mastura Yazid (Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri - Tugas-tugas Khas), Datuk Seri Dr Ismail Mohamed Said (Timbalan Menteri Dalam Negeri I) dan Datuk Zahidi Zainul Abidin (Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia).

Artikel Berkaitan:

Datuk Seri Ahmad Hamzah pula dilantik sebagai Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan I, manakala Datuk Abdul Rahman Mohamad dilantik sebagai Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar I.

Pada Ahad, Pengerusi Jemaah Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah berkata, semua ahli UMNO yang memegang jawatan dalam Kabinet kerajaan Perikatan Nasional (PN) termasuk diberikan jawatan dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diminta meletakkan jawatan.

ARTIKEL BERKAITAN: Menteri, timbalan menteri UMNO perlu tarik diri hari ini