Tangguh ECRL: Kerajaan tanggung rugi RM1.25 juta sehari

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - Kerajaan menanggung kerugian kira-kira RM1.25 juta sehari ekoran keputusan kerajaan Selangor menangguhkan persetujuan penjajaran semula projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), kata Pengerusi Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Mohd Zuki berkata, projek kereta api mega kerjasama Malaysia dan China itu tertangguh kira-kira setahun dan mungkin berlanjutan sekiranya kerajaan negeri Selangor mengekalkan pendirian tersebut.

“Saya harap kerajaan negeri Selangor memberi keputusan tentang jajaran mana yang diputuskan.

“Bagi saya, tidak ada alasan untuk kerajaan negeri Selangor menangguhkan keputusan mereka kerana kita (MRL) sudah memberi semua penjelasan berkaitan projek,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan buku karyanya bertajuk ‘365 Hari: Aspirasi dan Cabaran Mohd Zuki Ali’, di sini pada Isnin.

Memperincikan tentang ECRL itu, Mohd Zuki berkata, projek yang dijangka siap sepenuhnya pada Disember 2026 terbahagi kepada tiga seksyen iaitu Seksyen A (Kota Bharu-Dungun), Seksyen B (Dungun-Mentakab), dan Seksyen C (Mentakab-Pelabuhan Klang).

“Seksyen A sudah selesai manakala Seksyen B sudah selesai dari segi perancangan dan urusan untuk meneruskan projek,” katanya.

Kerajaan negeri Selangor dilapor mempertahankan pendirian untuk tidak bersetuju dengan cadangan penjajaran semula ECRL melibatkan Seksyen C walaupun MRL telah memberikan penyelesaian dan mitigasi yang melibatkan perlindungan alam sekitar, meminimumkan kesan sosial serta meningkatkan kesalinghubungan kereta api.

Selain menanggung kerugian besar, Mohd Zuki menzahirkan kebimbangan sekiranya projek rangkaian kereta api itu terus tertangguh, berkemungkinan menjejaskan imej negara di mata China.

Artikel Berkaitan:

Susulan pendirian kerajaan negeri Selangor itu, beliau berkata, memorandum berkaitan ECRL akan diserahkan Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong kepada jemaah menteri dalam masa terdekat bagi mencari penyelesaian terhadap penangguhan projek berkenaan.

Mengenai buku karya beliau, Mohd Zuki yang juga Ketua Setiausaha Negara (KSN) berkata, buku itu berkisar tentang cabaran yang dihadapinya sebagai KSN ke-15, bermula dengan pergolakan politik dan disusuli pandemik Covid-19 yang menjejaskan ekonomi negara.

“Cabaran yang paling membimbangkan saya ialah cabaran dari sudut memulihkan semula ekonomi selain masalah kehilangan pekerjaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Mohd Zuki berkata, buku autobiografi khas berkaitan pengalaman beliau serta kupasan pandangan terhadap sektor perkhidmatan awam yang kini di peringkat akhir penulisan, dijangka siap selewat-lewatnya hujung tahun ini.