Gagal patuhi penjarakan fizikal paling banyak dikompaun

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gagal mematuhi penjarakan fizikal adalah kesalahan terbanyak direkodkan menerusi task force operasi pematuhan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada Ahad, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, daripada 44 individu ditahan dan dikompaun kerana ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, 39 kesalahan membabitkan tiada penjarakan fizikal, tiga kesalahan gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan manakala rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran serta tidak memakai pelitup muka pula masing-masing merekodkan satu kesalahan.

"Sebanyak 64,528 pemeriksaan dilakukan semalam (Ahad) oleh pasukan ini melibatkan restoran, pasar raya, bank, penjaja, pasar awam/tani, kilang, pejabat kerajaan, tempat ibadah dan riadah serta terminal pengangkutan," katanya dalam kenyataan mengenai pelaksanaan PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan pada Isnin.

Mengenai Operasi Benteng pada Ahad, Ismail Sabri memaklumkan tujuh pendatang tanpa izin ditangkap manakala masing-masing sebuah kenderaan darat dan bot/kapal dirampas, selain 98 bot/kapal dikesan melalui enam aktiviti penglihatan dan lima pendatang tanpa izin diusir melalui dua aktiviti pengusiran.

Selain itu, beliau berkata, sebanyak 858 individu tiba di semua pintu masuk antarabangsa semalam, dan kesemuanya dikuarantin di stesen-stesen kuarantin di seluruh negara.

“Semalam juga, sebanyak 1,357 warga asing menjalani ujian saringan dan daripada jumlah itu, dua orang didapati positif Covid-19,” katanya sambil menambah sehingga kini sebanyak 1,539 klinik terlibat dengan program saringan tersebut. - Bernama

Artikel Berkaitan: