X

Kindly register in order to view this article
!

Poligami kena ikut saluran sah, betul: Zulkifli

Zulkifli (dua,kiri) beramah mesra bersama Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang (kanan) ketika tiba di Pondok Moden Zakat Kedah di sini pada Isnin.
A
A

ALOR SETAR - Umat Islam di negara ini dinasihatkan agar mengikut saluran yang sah dan betul dalam pernikahan poligami untuk mengelakkan timbulnya sangkaan buruk serta salah sangka dalam kalangan ahli keluarga.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata, sebaik-baiknya pernikahan itu perlu berlandaskan kejujuran, keikhlasan supaya rumah tangga yang dibina mendapat berkat dari ALLAH SWT.

"Bercakap yang benar dan berunding sebaik-baiknya. Saya yakin sekusut mana pun masalah itu akan dapat diselesaikan dengan sebaik-baiknya," katanya ketika ditemui selepas melawat Pondok Moden Zakat Kedah di sini pada Isnin.

Mengulas mengenai kegiatan poligami ekspres di negara ini yang didakwa menjadi sumber pendapatan sesetengah pihak, Zulkifli berkata, beliau akan mendapatkan maklumat terperinci mengenai isu berkenaan daripada Jabatan Kemajuan Agama Islam Malaysia (Jakim) dan pihak berkuasa agama negeri.

"Saya tak dapat mengulas panjang lebar mengenai isu ini kerana perlu mendapatkan maklumat daripada beberapa pihak termasuk Jakim dan juga pihak berkuasa agama negeri.

"Kita akan melihat apakah kegiatan ini berlaku dalam skala besar atau hanya melibatkan kes-kes terpencil," katanya.

Dalam perkembangan lain, Zulkifli berkata, pihaknya kini dalam usaha memperkemaskan lagi beberapa cadangan dan matlamat berkaitan isu kalimah ALLAH untuk dibahaskan dalam Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia.

Katanya, kementerian akan mengambil pandangan yang jitu dalam isu ini serta beberapa tindakan yang sesuai.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ALLAH dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut dibenarkan untuk digunakan.

Pada 15 Mac lalu, kerajaan dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) memfailkan rayuan terhadap keputusan tersebut melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!