Rakyat diajak tandatangan petisyen tamatkan darurat

'Flash mob' yang diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani turut lancar tanpa sebarang provokasi.
'Flash mob' yang diadakan di Dataran Zero, Sungai Petani turut lancar tanpa sebarang provokasi.
A
A
A

ALOR SETAR – Rakyat yang mahu darurat ditamatkan, boleh menandatangani petisyen menamatkan darurat bagi membolehkan sidang Parlimen diadakan segera.

Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah, Datuk Dr Ismail Salleh berkata, orang ramai tidak perlu bimbang untuk menyokong petisyen berkenaan kerana ia mengikut saluran yang betul dan akan dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Menurutnya, darurat perlu ditamatkan segera untuk mengembalikan demokrasi dalam negara ini.

“Mesej utama adalah agar seluruh rakyat Kedah memahami bahawa demokrasi dalam negara ini harus dikembalikan semula, iaitu dengan menamatkan darurat. Selepas itu dapatlah Parlimen bersidang untuk bincangkan isu-isu rakyat,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kundor bersama ADUN Kubang Rotan, Mohd Asmirul Anuar Aris turut mengadakan 'flash mob' di persimpangan Simpang Kuala sambil memegang sepanduk ‘Tamat Darurat’ dan melaungkan ‘Hidup Rakyat Tamat Darurat’.

Mohd Asmirul (kiri) dan Ismail (kanan) ketika menyertai 'flash mob' di persimpangan Simpang Kuala sambil memegang sepanduk ‘Tamat Darurat’ dan melaungkan ‘Hidup Rakyat Tamat Darurat’.
Mohd Asmirul (kiri) dan Ismail (kanan) ketika menyertai 'flash mob' di persimpangan Simpang Kuala sambil memegang sepanduk ‘Tamat Darurat’ dan melaungkan ‘Hidup Rakyat Tamat Darurat’.

Mengulas lanjut, Ismail berkata, 'flash mob' berkenaan turut diadakan serentak di seluruh negeri ini agar rakyat dapat bersama-sama bangkit menyuarakan pandangan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Setelah petisyen ditandatangani, Pengerusi Jawatankuasa Penamatan Darurat, Khalid Abdul Samad akan persembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk menunjukkan ia adalah kehendak rakyat yang turut mahu darurat ditamatkan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Khalid tubuh jawatankuasa kumpul petisyen tamat darurat

Sementara itu, Mohd Asmirul Anuar yang juga Setiausaha Amanah Kedah berkata, petisyen berkenaan penting agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) di bawah kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin segera menamatkan darurat kerana tindakan itu telah menyebabkan negara kehilangan pelaburan yang besar.

“Ramai pelabur meninggalkan negara ini menyebabkan ekonomi terkesan teruk. Kita harap selepas Yang di-Pertuan Agong bertitah bahawa darurat boleh ditamatkan, ia diberikan perhatian dan tindakan oleh kerajaan PN,” katanya.

Menurutnya, pihaknya kesal kerana darurat yang dilaksanakan ibarat mainan politik PN dan rakyat yang menjadi mangsanya.

“Pada ketika ini, Muhyiddin tidak boleh pentingkan jawatan perdana menteri atau menteri Kabinet yang sokong beliau, sebaliknya jagalah kepentingan rakyat. Tamatkan darurat demi kepentingan rakyat agar pelabur kembali dan ekonomi pulih,” katanya.

Pihaknya turut mempersoalkan tindakan mengisytiharkan darurat kerana tiada negara lain yang terkesan akibat pandemik Covid-19 berbuat demikian.

“Adakah rasional laksanakan darurat disebabkan oleh Covid-19, atau ia disebabkan darurat politik. Sekarang rakyat tiada tempat untuk menyuarakan masalah mereka melalui wakil rakyat yang dilantik oleh rakyat, disebabkan Parlimen atau Sidang DUN tidak dapat diadakan,” katanya.

Setakat jam 5.30 petang ini, seramai 19,101 telah menandatagani petisyen www.tamatdarurat.com secara atas talian.