Ubah suai ekzos: JPJ guna pakai pendekatan advokasi, nasihat

Zailani Hashim (kiri) melihat dokumen seorang pemandu lori yang diperiksa di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok pada Isnin.
Zailani Hashim (kiri) melihat dokumen seorang pemandu lori yang diperiksa di Stesen Penguatkuasa JPJ Labok pada Isnin.
A
A
A

MACHANG - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengguna pakai dua pendekatan advokasi dan nasihat dalam menangani kesalahan yang melibatkan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.

Ketua Pengarah Pengangkutan Jalan, Datuk Zailani Hashim berkata, dua pendekatan tersebut adalah melibatkan pengeluaran notis yang membolehkan pelanggan bertemu dengan pihak penguat kuasa terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut dikenakan.

"JPJ telah mengguna pakai dua pendekatan advokasi dan nasihat di dalam menangani isu ini iaitu melalui pengeluaran Notis Temu Siasat, di bawah Seksyen 114(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

"Notis ini dikeluarkan bertujuan siasatan dan pengumpulan maklumat advokasi dan nasihat melalui aduan yang diterima oleh pihak JPJ berkaitan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas melakukan lawatan ke Stesen Penguatkuasa JPJ Labok bagi memantau Ops Penguatkuasa Khas di sini pada Isnin.

Hadir sama, Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf.

Dalam pada itu, Zailani berkata, pendekatan kedua pula melalui pengeluaran Notis Arah Periksa Kenderaan, di bawah Seksyen 61(1), APJ 1987 dan Notis Larangan Penggunaan Kenderaan (Notis PG1), di bawah Seksyen 59(1), Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Katanya, Notis Arah Periksa dan Notis PG1 ini dikeluarkan bagi tujuan penguatkuasaan dijalankan apabila pemilik kenderaan motor disyaki melakukan kesalahan pengubahsuaian ekzos motosikal tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"Pemilik diberikan peluang untuk membaiki atau menukar ekzos yang mematuhi pembuatan dan kegunaan yang telah ditetapkan dalam tempoh 10 hari," katanya.

Mengulas lanjut mengenai isu ekzos motor tersebut, Zailani memberitahu, apabila notis berkenaan dikeluarkan, penerima notis wajib mengemukakan atau membawa semula kenderaan motor ke mana-mana pejabat JPJ bagi tujuan pemeriksaan sebagai bukti pembaikan terhadap ekzos tersebut.

Katanya, sebarang pengubahsuaian ekzos kenderaan motor tanpa kebenaran adalah menjadi satu kesalahan dan boleh dikompaun tidak lebih RM300.

"Jika disabitkan kesalahan di mahkamah, pesalah boleh didenda di bawah Seksyen 119, Akta Pengangkutan Jalan 1987, dan denda tidak lebih RM2,000, atau boleh dipenjara tidak lebih 6 bulan," katanya.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, buat masa ini, kesalahan menggunakan ekzos bising motosikal hanya akan dikenakan tindakan advokasi, iaitu pengeluaran notis untuk temu siasat.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, perkara itu telah dimaklumkan pihak JPJ agar pesalah tidak dikenakan tindakan saman.

ARTIKEL BERKAITAN: Kesalahan ekzos bising hanya dikenakan tindakan advokasi