MBSJ saran wajibkan pengasingan sisa pepejal di Selangor

NORAINI
NORAINI
A
A
A

SUBANG JAYA - Langkah drastik perlu diambil oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dan kerajaan negeri dalam usaha meningkatkan keberkesanan program kitar semula di Selangor.

Datuk Bandar Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ), Noraini Roslan berkata, kerajaan negeri boleh mula mewajibkan Pengasingan Sisa Pepejal Di Punca di negeri itu seperti undang-undang yang terpakai di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, sudah tiba masa ia dijadikan kewajipan selepas kaedah sukarela yang dilakukan setakat ini kurang berkesan.

"Bermula tahun 2015, statistik kutipan sisa kitar semula di Subang Jaya ialah 13 peratus. Angka tersebut tidak menunjukkan peningkatan ketara cuma meningkat kepada 18 peratus pada tahun 2019.

"Ia kembali menurun pada tahun 2020 disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Kita hadapi kesukaran untuk mengukur kempen kitar semula yang dijalankan di peringkat sekolah dan program dijalankan pihak lain," katanya ketika ditemui ketika Majlis Perasmian Pusat Kitar Semula KDEB Waste Management di Bandar Bukit Puchong di sini pada Isnin.

Noraini berkata, beberapa langkah diambil dalam usaha meningkatkan jumlah kutipan itu kepada 20 peratus pada tahun ini termasuk menambahkan lagi kawasan perumahan melakukan pengasingan sisa sampah di punca.

"Buat masa ini sebanyak tujuh kawasan menjalankan pengasingan sisa kitar semula secara sukarela melibatkan penyertaan 3,000 isi rumah.

"Tahun ini, kita sasarkan untuk menambahkan angka itu kepada dua kali ganda, " katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga bercadang untuk memberi insentif kepada pihak pengurusan rumah strata sebagai galakan penghuninya terlibat sama dalam pengasingan sisa sampah tersebut.

Artikel Berkaitan:

" Jika sambutan baik, kita akan mula mewajibkan pengasingan sisa pepejal di rumah strata.

"Inisiatif pengasingan sisa pepejal ini bukan hanya perlu diambil perhatian oleh penghuni rumah kediaman saja, tapi juga kepada peniaga serta industri," katanya.