X

Kindly register in order to view this article
!

Hospital Swasta akan dibenar berunding beli vaksin Covid-19

Khairy Jamaluddin ketika sidang media mengenai perkembangan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan selepas mempengerusikan mesyuarat bersama JKJAV di Kompleks F1 hari ini.
A
A

PUTRAJAYA - Hospital swasta akan diberi kebenaran untuk berunding dengan pembekal bagi pembelian vaksin Covid-19, kata Menteri Penyelaras Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Khairy Jamaluddin Abu Bakar.

Namun sebagai orang yang terlibat dalam rundingan dengan syarikat vaksin, katanya penghantaran vaksin untuk pasaran swasta seawal-awalnya mungkin hanya dilaksanakan pada suku ketiga dan keempat tahun ini.

“Jadi saya akan bincang dengan hospital swasta bagi kebenaran kepada mereka untuk membuat rundingan.

Jangan orang yang berada ingat mereka akan dapat bayar untuk suntikan bulan ini atau bulan depan sebab seluruh dunia ada kekurangan bekalan vaksin,” katanya dalam sidang media mengenai perkembangan program imunisasi Covid-19, di sini hari ini.

“Saya akan beri laluan kepada mereka mencuba memperolehnya tetapi untuk menguruskan jangkaan warga Malaysia, saya boleh beritahu anda bahawa pasaran swasta tidak akan memberikan kepada mereka dalam masa terdekat,” kata beliau yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi.

Semalam Pengerusi Pertubuhan Ikatan Komuniti Selamat Tan Sri Lee Lam Thye berkata kerajaan wajar menimbang untuk membenarkan kemudahan kesihatan swasta membeli dan melaksanakan suntikan vaksin Covid-19 ke atas mereka yang mampu membayar kos itu bagi mempercepatkan pencapaian sasaran 80 peratus penduduk Malaysia menerima imunisasi Covid-19.

Dalam pada itu, Khairy Jamaluddin berkata, kerjasama awam dan swasta akan diadakan bagi pemberian vaksin Covid-19 untuk kategori industri yang beroperasi di kawasan zon merah dan melebihi 5,000 pekerja.

“Kerjasama ini akan diumumkan apabila kita muktamadkan bentuk kerjasama dengan syarikat industri,” katanya.

Sementara itu, Khairy Jamaluddin berkata, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah menyediakan satu garis panduan iaitu Program Vaksinasi Hijau bagi menjadikan urusan operasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) lebih mesra alam.

"Dengan kehadiran lebih ramai orang di PPV dan penggunaan sumber yang besar termasuklah pengendalian barang yang diperoleh, panduan ini adalah satu inisiatif untuk menjadikan pengurusan sumber lebih lestari dari sudut pengurusan sisa serta guna tenaga elektrik,” katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!