X

Kindly register in order to view this article
!

Majikan tidak patuh Akta 446, 35 kertas siasatan dibuka

Arul Kumar menunjukkan status penguatkuasaan Akta 446 pada sidang akhbar di Wisma Negeri, Seremban pada Isnin.
A
A

SEREMBAN - Jabatan Tenaga Kerja (JTK) Negeri Sembilan telah membuka 35 kertas siasatan melibatkan 21 majikan kerana tidak mematuhi Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) di bawah Ordinan Darurat pindaan 2021 dalam tempoh sehingga 23 Februari lalu.

Pengerusi Jawatan Kuasa Bertindak Sumber Manusia, Perladangan dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan, J Arul Kumar berkata, daripada jumlah itu, 11 telah mendapat kebenaran untuk didakwa di mahkamah.

"Sejak penguatkuasaan akta itu, sebanyak 3,376 tempat penginapan pekerja telah diperiksa melibatkan 808 majikan.

"Ia secara keseluruhan melibatkan seramai 33,391 pekerja iaitu 29,053 merupakan warga asing manakala 4,338 melibatkan warga tempatan," katanya pada sidang akhbar di Wisma Negeri, di sini pada Isnin.

Menurutnya, sehingga kini hanya 102 majikan pekerja asing telah mendapat perakuan penginapan yang mana ia melibatkan 465 penginapan yang menempatkan 7,772 orang pekerja.

Mengenai garis panduan Akta 446, Arul Kumar berkata, majikan kini lebih mudah untuk membuat permohonan perakuan penginapan selepas kerajaan negeri mengeluarkan satu garis panduan lebih jelas dan terperinci.

"Buat masa ini JTK memberi perakuan penginapan kepada semua bangunan berstatus kediaman seperti teres, apartment dan flat dengan mengikuti semua keperluan yang diperjelaskan dalam Akta 446.

"Bagi yang bukan status kediaman, majikan perlu mendapatkan Kebenaran Merancang (KM) Terhad daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) terlebih dahulu sebelum dikemukakan kepada JTK," katanya.

Arul Kumar berkata, bagi bangunan 3,000 kaki persegi dan ke bawah, pemohon perlu melantik pelukis pelan berdaftar manakala bagi bangunan 3,000 kaki persegi dan ke atas pemohon perlu melantik arkitek berdaftar.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!