Nadma selaras pelaksanaan Agen Basmi Covid-19

Tan Sri Muhyiddin Yassin
Tan Sri Muhyiddin Yassin
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) diarah menyelaraskan pelaksanaan Agen Basmi Covid-19 (ABC-19) sebagai langkah pemerkasaan komuniti dalam menghadapi ancaman wabak itu di seluruh negara.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pengoperasian pendekatan pemerkasaan komuniti itu akan dilakukan Nadma melalui Sekretariat Pengurusan Bencana di peringkat negeri dan daerah.

"ABC-19 digerakkan melalui pendekatan Whole of Society oleh agensi kerajaan, kepimpinan komuniti dan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) di seluruh negara," katanya dalam ucapan pada Program Pemerkasaan Komuniti yang disiarkan secara langsung menerusi TV1, RTM pada Isnin.

Menurutnya, sehingga 23 Mac, seramai 29,407 anggota agensi dan kepimpinan komuniti yang telah menyantuni lebih 1.325 juta rakyat Malaysia melalui pelbagai program di lebih 22,166 kawasan tumpuan.

"Keanggotaan ABC-19 ini bertambah dengan penglibatan sukarelawan NGO," katanya.

Beliau berkata, komuniti memerlukan pendekatan kolektif yang inovatif dan kreatif dalam mendepani pelbagai isu serta cabaran yang timbul akibat Covid-19.

"Oleh itu, pemerkasaan komuniti secara komprehensif amat penting sebagai salah satu usaha memerangi pandemik Covid-19," katanya.

Muhyiddin berkata, kepimpinan komuniti yang merupakan tulang belakang perlulah digerakkan bagi bersama-sama menjayakan usaha tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Contohnya penghulu, ketua kampung, ketua-ketua agama, ketua rumah panjang, Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP), Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Orang Asli (JPKKOA) dan lain-lain pemimpin masyarakat," katanya.

Menurutnya, kepimpinan komuniti yang menerajui ABC-19 akan turut digerakkan untuk menghebahkan pendidikan kesihatan mengenai langkah-langkah pencegahan Covid-19.

"Ia juga katanya akan membantu pendaftaran Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK) kepada ahli komuniti yang tiada akses ke MySejahtera, laman sesawang dan Call- center bagi memastikan sasaran 80 peratus imunisasi penduduk dewasa Malaysia tercapai," katanya.

Tambah Muhyiddin, pemimpin komuniti juga perlu memastikan pematuhan ahli-ahli komuniti kepada prosedur operasi standard (SOP) norma baharu dengan memberi nasihat, teguran serta peringatan.

"Ini bagi memastikan komuniti sentiasa berwaspada dan secara tidak langsung dapat membudayakan norma baharu ini dalam kehidupan seharian," katanya.

Beliau berkata, kerajaan sentiasa berusaha bagi memastikan Malaysia menang dalam pertarungan memerangi wabak Covid-19.