KPRJ, YPKDT rintis projek perkasa wanita Johor

Zaiton (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara KPRJ yang diwakili Mohd Noorazam dan YPKDT yang diwakili Nurul Naqiah pada majlis di Iskandar Puteri pada Isnin.
Zaiton (tengah) menyaksikan pemeteraian MoU antara KPRJ yang diwakili Mohd Noorazam dan YPKDT yang diwakili Nurul Naqiah pada majlis di Iskandar Puteri pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) yang merupakan anak syarikat milik kerajaan negeri Johor memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) untuk bekerjasama memperkasa wanita di negeri ini.

Perjanjian itu ditandatangani antara Ketua Pegawai Eksekutif KPRJ, Datuk Mohd Noorazam Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif YPKDT, Nurul Naqiah Fadzil serta disaksikan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Zaiton Ismail pada Isnin.

Zaiton berkata, inisiatif itu adalah usaha kedua-dua pihak dalam memastikan kumpulan sasar mendapat manfaat sewajarnya melalui program kemasyarakatan terutama membabitkan wanita dan institusi keluarga.

"Beberapa projek dan program di bawah YPKDT telah dikenal pasti menjadi projek rintis bagi kerjasama ini iaitu Program Keusahawanan Bangsa Johor Packet Food & Delivery Services (JOPAC) yang telah dilaksanakan bermula tahun 2020 dan akan dikembangkan lagi melalui pembangunan aplikasi dalam talian.

"Selain itu Hub Suri Johor iaitu platform pembangunan usahawan wanita Johor dan konvensyen Persona Wanita Profesional Johor turut menjadi agenda Kerjasama dalam meningkatkan taraf wanita di persada antarabangsa.

"Kerjasama itu perlulah menepati falsafahnya agar ia menjadi contoh terbaik kepada agensi lain dalam menggembleng tenaga menyantuni kumpulan sasar, seterusnya menjadikan Johor sebagai negeri makmur yang disegani," katanya kepada pemberita pada sidang akhbar di Fraser Place Hotel, Iskandar Puteri di sini pada Isnin.

Sementara itu, Mohd Noorazam berkata, kerjasama yang dimeterai bersama YPKDT itu merupakan sebahagian komitmen KPRJ untuk menyokong agenda pemerkasaan wanita dan simbolik terhadap penghargaan terhadap golongan wanita.

Katanya, KPRJ telah menjangkau tugas menyediakan prasarana dan pembangunan dengan mengambil inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) KPRJ iaitu KPRJ-HOPE dan akan datang melalui penubuhan Yayasan KPRJ bagi menyokong agenda pemerkasaan wanita ini.

Artikel Berkaitan:

"Kerjasama ini dilihat mampu membina kehidupan golongan wanita yang lebih baik, sama ada bagi diri mereka sendiri, keluarga, mahupun komuniti mereka dalam jangka panjang," kata beliau.

Bagi Nurul Naqiah pula, kerjasama itu sebagai menyahut seruan kerajaan negeri yang ingin melihat agensi negeri membina hubungan kerjasama erat melalui Strategi Lautan Biru dengan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) agar rakyat dan kumpulan sasar dapat menerima manfaat secara menyeluruh.