Perak Sejahtera pandu pembangunan negeri bagi tempoh 10 tahun

Saarani menyempurnakan gimik perasmian Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Ipoh pada Isnin.
Saarani menyempurnakan gimik perasmian Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Ipoh pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 yang dilancar pada Isnin akan dijadikan asas memandu arah jentera kerajaan dalam pembangunan negeri sepanjang tempoh 10 tahun akan datang.

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, pelan itu mempunyai lima teras strategik yang digarap mengambil kira pelbagai cabaran semasa di peringkat domestik dan faktor-faktor luaran lain bagi menjadikan negeri ini sejahtera, berdaya maju dan berpendapatan tinggi.

Menurutnya, lima teras strategik yang telah dibangunkan itu adalah keseimbangan pembangunan fizikal dan sosioekonomi; kerjasama pintar; kelestarian penggunaan sumber dan alam semula jadi; sistem penyampaian perkhidmatan yang cekap dan ambil peduli serta kepakaran berkualiti dan bernilai tinggi.

"Lima teras strategik yang digariskan ini berpaksi kepada lima nilai bersama iaitu jujur, bijaksana, prihatin, kebersamaan dan tegas.

"Didukung dengan visi 'Perak Makmur, Rakyat Sejahtera' dan misi 'Memacu Pembangunan Sosioekonomi yang Mapan, Inklusif dan Dinamik', pelan ini sebenarnya mencerminkan manifestasi harapan rakyat yang inginkan kesejahteraan, keselamatan dan pembangunan," katanya ketika berucap merasmikan Roadmap Pelan Pembangunan Perak Sejahtera 2030 di Dewan Bankuet Bangunan Perak Darul Ridzuan di sini pada Isnin.

Beliau berkata, pelan yang telah dibangunkan Institut Darul Ridzuan (IDR) dan Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) itu digarap dengan dengan mengambil kira pandangan semua pihak bukan sahaja ahli ekonomi dan cendekiawan, malah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), orang muda dan pemimpin setempat di kampung-kampung.

Katanya, ia adalah kesinambungan kepada pelan-pelan pembangunan terdahulu serta mengambil kira pelan-pelan pembangunan jangka masa sederhana dan panjang yang lain di peringkat Persekutuan dan negeri seperti Rancangan Malaysia Ke-12 dan 13, Northern Corridor Strategic Development Plan 2021-2025, Rancangan Struktur Negeri 2040 dan Kajian Pelan Perindustrian Perak.

"Pelan ini bersifat dinamik, realistik dan boleh capai. Ia pelan yang akan membawa Perak mengharungi cabaran yang semakin rencam. Pelan yang menggariskan matlamat negeri untuk pembangunan masa terdekat, sederhana dan jangka masa panjang," kata beliau.

Artikel Berkaitan:

Sepanjang tempoh 10 tahun itu, katanya, isu kemiskinan, kesenjangan pendapatan dan perumahan akan terus dijadikan agenda penting kerajaan negeri untuk menurunkan kadar peratusan isi rumah B40 yang ketika ini pada kadar 12.7 peratus iaitu antara yang tertinggi di Malaysia.

"Perak juga akan memperlihatkan budaya pendigitalan sebagai usaha meningkatkan kecekapan perkhidmatan awam serta tanggungjawab kerajaan negeri dalam memulihara kelestarian alam dengan menyeimbangkan penerokaan dan penggunaan sumber bumi," katanya.