PN Johor akan adakan mesyuarat susulan ucapan Hasni

Osman Sapian
Osman Sapian
A
A
A

JOHOR BAHRU - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan membincangkan hubungannya dengan UMNO dan kedudukan parti itu dalam Perikatan Nasional (PN) yang membentuk kerajaan negeri Johor menerusi mesyuarat pada Selasa dan Rabu.

Mesyuarat yang dijadualkan dihadiri Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin itu susulan kenyataan terbuka Pengerusi UMNO Johor, Datuk Hasni Mohammad yang juga Menteri Besar Johor ketika Persidangan Agung UMNO (PAU) di Kuala Lumpur pada Ahad.

Ketua Bersatu Bahagian Ayer Hitam, Datuk Osman Sapian berkata, kesemua 26 ketua bahagian Bersatu di Johor akan menghadiri mesyuarat tersebut yang diadakan secara bersemuka pada malam Selasa.

Beliau berkata, pada keesokan harinya pula, PN Johor membabitkan Bersatu dan Pas akan mengadakan mesyuarat yang turut disertai Muhyiddin bagi membincangkan hala tuju dan kerjasama dengan UMNO Johor.

Bagaimanapun, bekas Menteri Besar Johor itu enggan mendedahkan lokasi kedua-dua mesyuarat tersebut akan diadakan.

"Saya amat kecewa dengan seorang Menteri Besar yang dilantik daripada sokongan Bersatu di Johor tidak beralas mendakwa Presiden (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin tiada kekuatan di Pagoh. Selain itu beliau mendakwa orang Melayu Johor yang menyokong PN hanyalah 26 peratus.

"Muhyiddin sudah menjadi Ahli Parlimen Pagoh sejak tahun 1978. Jika tiada sokongan, bagaimana Muhyiddin boleh menang," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Osman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas berkata, sekiranya UMNO mahu bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Bersatu Johor juga akan bertindak sama, sekali gus membayangkan berlaku pertembungan tiga penjuru pada pilihan raya akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Jika UMNO Johor mendabik dada mendakwa parti merekalah paling kuat, mengapa pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu banyak kerusi DUN Johor tewas. Malah, beberapa nama besar pemimpin UMNO kalah dengan majoriti sangat besar.

"Tetapi UMNO perlu ingat, dengan sokongan Bersatu, UMNO bersama Barisan Nasional (BN) dapat menubuhkan kerajaan negeri. Kalau esok kalah PRU15, jangan melutut pula mengemis simpati," tegas beliau.

Pada Ahad, Hasni ketika membahaskan ucapan dasar Presiden UMNO sempena PAU 2020 mahu UMNO Johor diberikan autonomi untuk menentukan strategi bagi menghadapi pilihan raya di negeri berkenaan.

ADUN Benut itu juga mendakwa Muhyiddin lemah di kawasannya sendiri iaitu di Pagoh.

Beliau berkata, berdasarkan kajian daripada UMNO Johor, orang Melayu di negeri itu yang menyokong PN hanyalah 26 peratus.

DUN Johor mempunyai 56 kerusi dengan ketika ini membabitkan PN sebanyak 29 kerusi dan pembangkang (27 kerusi).

Pecahan 29 kerusi PN tersebut ialah 14 dimiliki UMNO, selain Bersatu (12), MIC (dua) dan Pas (satu).

Pakatan Harapan (PH) pula mempunyai 14 kerusi DAP, selain Parti Amanah Negara (sembilan) dan Parti Keadilan Rakyat (empat).

ARTIKEL BERKAITAN: MB Johor dakwa Muhyiddin lemah di Pagoh