Madinah Ramadan dianjur tahun ini dengan SOP lebih ketat

Dr Izani (kanan) semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Isnin.
Dr Izani (kanan) semasa Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim, Kota Bharu pada Isnin.
A
A
A

KOTA BHARU - Program Madinah Ramadan akan diadakan tahun ini selepas ia dibatalkan tahun lalu berikutan penularan Covid-19.

Exco Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan, Dr Izani Husin berkata, penganjuran Madinah Ramadan itu akan melibatkan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat dalam usaha memutuskan pandemik Covid-19.

"Kita hanya menghadkan kepada 500 jemaah sahaja dalam satu-satu masa berbanding sebelum ini kapasiti maksimum ialah seramai 1,300 jemaah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas hadir pada Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan yang dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Madinah Ramadan merupakan satu program melibatkan solat tarawih berjemaah, berbuka puasa dan sahur, selain penyampaian sumbangan fakir miskin, tazkirah serta bicara keilmuan dan sebagainya.

Ia merupakan acara tradisi yang sudah menjadi sebahagian daripada umat Islam di Kelantan.

Mengulas lanjut, Dr Izani berkata, orang ramai yang ingin menghadiri Madinah Ramadan itu nanti perlu mengikuti semua SOP yang telah ditetapkan.

Dalam perkembangan lain, Dr Izani berkata, kerajaan negeri turut senada dengan kerajaan Pusat bagi membenarkan aktiviti perniagaan di bazar Ramadan.

Artikel Berkaitan:

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijang itu berkata, pihaknya sedang meneliti SOP terbaik bagi memastikan bazar Ramadan tahun ini berjalan lancar selaras dengan kehendak normal baharu.

"Kerajaan berharap pembukaan bazar Ramadan ini dapat memulihkan semula ekonomi rakyat yang terjejas akibat pandemik itu.

"Nasihat saya kepada peniaga dan pengunjung patuhilah SOP serta garis panduan normal baharu yang telah ditetapkan oleh kerajaan," katanya.