PGA tahan 156 individu atas pelbagai kesalahan

Rizal Mohamed ketika sidang akhbar di Gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
Rizal Mohamed ketika sidang akhbar di Gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.
A
A
A

KLANG - Batalion 4 Pasukan Gerakan Am (PGA) berjaya menahan seramai 156 individu atas pelbagai kesalahan bagi suku pertama tahun ini.

Pegawai Pemerintahnya, Superintendan Rizal Mohamed berkata, kesemua tangkapan itu melibatkan 31 laporan polis dan 20 rampasan pelbagai barang kes semasa tangkapan dijalankan.

"Tangkapan melibatkan Akta Imigresen 1959/63 melibatkan tangkapan tertinggi iaitu seramai 127 individu, diikuti Akta Kastam 1967 (17 individu) dan Akta Atipsom 2007 (empat individu).

"Selain itu, masing-masing tiga individu ditangkap di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Kawal Selia Padi dan Beras 1994 (Akta 522) manakala dua individu di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Gudang Padiberas Nasional Berhad (Bernas) di Pelabuhan Klang di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rizal berkata, jumlah keseluruhan nilai rampasan sehingga kini berjumlah RM5,009,324.65 dan pihaknya akan terus menjalankan tanggungjawab dalam menjaga serta mengawal keselamatan dan ketenteraman negara.

"Justeru, masyarakat diminta untuk terus memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis berkaitan sebarang aktiviti menyalahi undang-undang selain kekal mematuhi arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi memutuskan rantaian Covid-19," katanya.

Artikel Berkaitan: