'Setahun dah kami tiada pelanggan'

Antara pemandu teksi dan e-hailing yang hadir ke penyampaian sumbangan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di Jeti Semeling pada Isnin.
Antara pemandu teksi dan e-hailing yang hadir ke penyampaian sumbangan oleh Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia di Jeti Semeling pada Isnin.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Seramai 120 pemandu teksi dan e-hailing di daerah Kuala Muda, di sini mengakui terjejas pendapatan berikutan ketiadaan pelanggan sejak setahun lalu.

Pemandu teksi, Mat Saad Mat Ahkil, 64, berkata, dia yang menawarkan perkhidmatan teksi sekitar bandar Sungai Petani dan perjalanan ke Butterworth, Pulau Pinang berdepan masalah kekurangan pelanggan sejak tercetus pandemik Covid-19 dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menurutnya, disebabkan tiada pelanggan, dia terpaksa bergantung harap kepada bantuan anak-anak bagi meneruskan kehidupan dan perbelanjaan harian.

"Setahun dah kami tiada pelanggan, berkurangan sejak PKP serta kebimbangan orang ramai untuk menggunakan perkhidmatan awam, bagi kawan-kawan yang ada pelanggan sewa tetap, adalah pendapatan mereka tetapi bagi yang cari makan macam biasa, memang susah," katanya.

Selain itu, pemandu teksi, Mohd Saleh Yusof, 64, berkata, biarpun telah kehilangan sebelah kaki akibat kencing manis setahun lalu, namun dia tetap bersemangat untuk menjalankan tanggungjawab sebagai pemandu teksi yang merupakan sumber pendapatan sejak 12 tahun lalu.

"Saya akui pendapatan terjejas akibat tiada pelanggan tetapi mengharapkan agar selepas ini nasib pemandu teksi diberi perhatian sewajarnya memandangkan ada antara kami menjadikan pekerjaan ini sebagai punca pendapatan utama keluarga," katanya.

Hanif menyampaikan bantuan kepada pemandu teksi dan e-hailing secara pandu lalu di tempat letak kereta Jeti Semeling di sini pada Isnin.
Hanif menyampaikan bantuan kepada pemandu teksi dan e-hailing secara pandu lalu di tempat letak kereta Jeti Semeling di sini pada Isnin.

Menurutnya, dia akan tetap memandu biarpun berkerusi roda kerana pekerjaan itu sudah sebati dengan dirinya.

Artikel Berkaitan:

Selain itu, pemandu e-hailing, Rosman Md Isa, 52, juga mengakui pendapatan terjejas kira-kira 40 peratus sejak tercetus pandemik Covid-19.

"Kami berhadapan banyak masalah termasuk perbezaan harga e-hailing antara satu lokasi ke lokasi lain yang ditentukan pelbagai syarikat.

"Kalau boleh selaraskan lebih baik bagi pelanggan dan pemandu terutama melibatkan kawasan penghantaran luar bandar yang sukar untuk mendapatkan pelanggan ketika perjalanan pulang," jelasnya.

Sementara itu, Pengarah Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) Kedah, Mohd Aizat Zakaria berkata, kesemua 120 pemandu teksi dan e-hailing daripada golongan B40 disenaraikan sebagai penerima bantuan barangan keperluan harian dalam usaha meringankan beban mereka.

Sumbangan keseluruhan bernilai RM6,000 itu telah disampaikan secara pandu lalu di tempat letak kereta Jeti Semeling oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Dawai, Hanif Ghazali pada Isnin.

Menurut Hanif, perkhidmatan teksi merupakan pengangkutan terpenting suatu ketika dahulu bagi memudahkan pergerakan orang ramai ke sesuatu tempat.

"Sumbangan mereka terhadap masyarakat perlu dihargai dan diharapkan dengan sedikit bantuan ini dapat meringankan keresahan mereka dalam menghadapi ujian akibat pandemik Covid-19," jelasnya.