Jangan eksploitasi peranan khutbah

A
A
A

SEPERTI Malaysia, negara Jordan dan Singapura mengambil langkah menyiapkan teks khutbah Jumaat bagi mengelak imam atau khatib menyalahgunakan platform itu.

Jika tidak, ia ditakuti terkandung unsur kritikan yang berupaya menimbulkan polemik termasuk mencetuskan ancaman kepada negara.

Seperkara yang dinilai, seorang imam juga harus bersifat berkecuali dan tidak menyebelahi mana-mana pihak.

Apa elemen-elemen lain yang perlu dititik beratkan dalam penyampaian khutbah Jumaat?

Berkongsi pandangan mengenainya, Mufti Kelantan, Datuk Mohamad Shukri Mohamad berkata, perlu difahami bahawa peranan masjid bukan semata-mata untuk tujuan ubudiah atau ibadat tetapi juga untuk pembinaan ummah.

Justeru, khutbah merupakan salah satu medium yang perlu diimplemenkan untuk menyatupadukan ummah sekali gus dijadikan kesempatan untuk memberi peringatan kepada para jemaah tentang tanggungjawab sebagai seorang Muslim.

"Dalam Islam, kita tidak diajar untuk timbulkan perbalahan. Bukan ajaran Islam kalau hendak menimbulkan pertengkaran. Saya menyeru khutbah tidak dieksploitasikan untuk kepentingan politik atau lain-lain," katanya.

Bagi Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor pula, khutbah yang baik ialah mengajak umat Islam saling menghormati dan membentuk hubungan harmoni antara satu sama lain.

"Orang bukan Islam melihat masjid sebagai tonggak perpaduan. Mereka juga melihat keindahan Islam itu berlaku di dalam masjid. Jadi, kalau elemen politik pun mahu diserap dalam masjid, ia akan memecah-belahkan masyarakat dan ini tidak elok," katanya.

Ujar beliau lagi, khutbah yang bagus haruslah memaparkan kandungan yang mengingatkan orang ramai bahawa meskipun terdapat perbezaan ideologi, ia bukan halangan untuk memupuk kebaikan sesama manusia.

Artikel Berkaitan: