Anjur majlis di Kelantan wajib dapat kebenaran polis

Abdullah Mohamad
Abdullah Mohamad
A
A
A

KOTA BHARU - Sebarang penganjuran majlis membabitkan komuniti di negeri ini wajib mendapat kebenaran daripada pihak polis berkuat kuasa pada Isnin.

Polis akan memantau majlis yang diadakan termasuk kenduri kahwin, tahlil, kesyukuran dan perjumpaan berkumpulan dan memeriksa sama ada penganjur membuat permohonan atau sebaliknya.

Timbalan Ketua Polis Kelantan, Senior Asisten Komisioner Abdullah Mohamad Piah berkata, langkah itu bagi membolehkan pihak berkuasa memantau pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dalam usaha memutuskan rantaian Covid-19 yang kini meningkat di negeri ini.

"Selain itu SOP turut akan diberi perhatian semasa lawatan, jika wujud perlanggaran kita akan ambil tindakan kompaun minimum RM1,500 dan maksimum RM10,000," katanya ketika ditemui selepas hadir ke Mesyuarat Khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kota Darulnaim di sini pada Isnin.

Mesyuarat tersebut dipengerusikan oleh Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob.

Tambah Abdullah, polis sama sekali tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal berbuat demikian dan pemantauan berterusan akan terus dilakukan dari masa ke masa.

Abdullah berkata, tindakan itu susulan peningkatan Covid-19 di Kelantan yang berpunca daripada penganjuran majlis keramaian.

Dalam perkembangan lain, Abdullah berkata, polis akan meningkatkan lagi kawalan di pintu masuk melibatkan tiga kawasan di Mukim Semerak, Pasir Puteh susulan perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula Isnin hingga 11 April.

Artikel Berkaitan:

"Kita sudah menempatkan seramai 60 anggota di ketiga-tiga kawasan tersebut.

"Kawalan 24 jam di kawasan dilakukan bagi memastikan tiada sebarang pergerakan keluar masuk berlaku," katanya.