Prestasi England belum cukup bagus

Pemain England meraikan kemenangan menundukkan Albania 2-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Arena Kombetare pada awal pagi Isnin.
Pemain England meraikan kemenangan menundukkan Albania 2-0 dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Arena Kombetare pada awal pagi Isnin.
A
A
A

PENGENDALI England, Gareth Southgate menyifatkan prestasi yang dipamerkan pemainnya masih belum berada pada tahap terbaik walaupun berjaya melakar kemenangan 2-0 ke atas Albania dalam aksi Kelayakan Piala Dunia di Arena Kombetare pada awal pagi Isnin.

Menurutnya, England perlu beraksi lebih baik daripada apa yang dipamerkan dalam perlawanan tersebut sekiranya mahu memenangi sebarang kejuaraan besar seperti Euro dan Piala Dunia.

"Kami perlu terus mendesak pemain supaya mereka berada pada tahap terbaik. Banyak cakap-cakap tentang kami dan juga apa potensi yang kami ada, tetapi jika mahu memastikan kejayaan pasukan perlu beraksi pada tahap tertinggi.

"Saya rasa kami mampu melakukan yang lebih baik. Ya, mereka boleh menikmati kemenangan ini, tetapi kami harus meningkatkan prestasi. Saya juga mahukan mereka memberikan yang lebih dalam setiap perlawanan kerana status mereka sebagai antara pasukan terbaik dunia.

"Namun, saya tetap gembira dengan tiga mata ini dan berterima kasih kepada pemain dapat meraih kemenangan ini," katanya.

Dalam perlawanan itu, penyerang sensasi tottenham Hotspur, Harry Kane membuka tirai jaringan buat England pada minit ke-38 sebelum Mason Mount menggandakan kedudukan pada minit ke-63 untuk memberikan motivasi bagi menghadapi Poland pada Khamis ini.

Mengulas lanjut, Southgate menyedari tentangan sukar akan diterima pasukannya ketika menentang Poland dan mahu para pemainnya mempamerkan persembahan lebih baik berbanding ketika menewaskan Albania.

"Dalam perlawanan menentang Albania, kami mengawal perlawanan dan seharusnya mampu menjaringkan lebih banyak gol. Saya tidak gemar cara kami mengendalikan perlawanan dalam tempoh 15 minit terakhir. Saya rasa kami perlu membuat keputusan sama ada ingin menambah gol ataupun bertahan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

"Ada kalanya anda [harus] belajar bagaimana menilai perlawanan dan membuat keputusan secara kolektif. Memang kami menang perlawanan ini, tetapi standard kami harus tinggi. Menentang Poland nanti kami perlu beraksi lebih baik," katanya.