X

Kindly register in order to view this article
!

UUM terima 880 naskhah wakaf al-Quran sumbangan WUIF

Ahmad Bashawir (tengah) menunjukkan al-Quran yang mengandungi terjemahan, tafsir dan hadis, selain seni mushaf yang menarik di Bilik Sri Delima, UUM pada Ahad.
A
A

KUBANG PASU - Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima sebanyak 880 wakaf al-Quran daripada Kumpulan Karangkraf menerusi Yayasan Warisan Ummah Ikhlas (WUIF), baru-baru ini.

Naib Canselor, Profesor Datuk Dr Ahmad Bashawir Abdul Ghani berkata, beliau berterima kasih kepada yayasan tersebut di atas pemberian sumbangan dalam jumlah yang besar itu dan ia merupakan naskhah al-Quran yang sangat berguna kerana mengandungi terjemahan, tafsir dan hadis, selain seni mushaf yang menarik di dalam al-Quran.

Katanya, wakaf al-Quran ini akan dimanfaatkan sebaiknya bertepatan dengan saranan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) pada penghujung tahun lalu yang menggalakkan setiap universiti awam menubuhkan Quran Corner.

"Quran Corner ini kelak akan memberi manfaat kepada setiap pelajar Islam untuk meneliti dan memanfaatkan semua ilmu yang terkandung di dalam al-Quran ini kerana kita sedia maklum bahawa ilmu bermula daripada surah Al-'Alaq (Iqra)," katanya ketika meninjau wakaf Al-Quran dan buku-buku agama yang diterima di Bilik Sri Delima, UUM pada Ahad.

Menurutnya, UUM juga merancang untuk menempatkan al-Quran itu di setiap pusat pengajian termasuk Pusat Islam dan Inapan Siswa (Inasis) untuk kegunaan seluruh warga kampus.

"Saya berharap ilmu yang terdapat dalam wakaf al-Quran itu akan dapat dikongsikan dan diletakkan di tempat yang sesuai bagi tujuan bacaan dan rujukan agar dapat membentuk sahsiah dan integriti staf dan pelajar kampus ini," katanya.

Sementara itu, Pengarah Pusat Islam, Profesor Madya Dr Ismail Ishak berkata, sumbangan al-Quran itu sangat berharga kepada warga UUM dan al-Quran ini merupakan induk segala ilmu yang boleh dimanfaatkan.

"Saya harap sumbangan ini diambil manfaat dengan betul, bukan sekadar untuk dipamerkan tetapi digunakan dalam kehidupan seharian, apatah lagi UUM sebagai pusat pendidikan perlu mengambil peluang ini untuk menyebar dan berkongsi ilmu yang terdapat di dalam al-Quran.

"Di samping itu, universiti juga akan menghidupkan #QuranHour dengan mengadakan bacaan al-Quran seperti tahun-tahun sebelum ini, malah kita merancang mengadakan Tadarus Perdana yang dijadualkan pada 2 Ramadan nanti yang akan diketuai Naib Canselor," katanya.

Pada masa sama, turut diadakan penyerahan takwim dan waktu solat 2021 yang disumbangkan Lembaga Zakat Negeri Kedah untuk diedarkan kepada kakitangan UUM.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!