X

Kindly register in order to view this article
!

Maritim Malaysia tahan bot langgar syarat sah lesen

Maritim Malaysia menahan bot yang disyaki melanggar syarat sah lesen di perairan Pulau Pangkor pada Jumaat. - Foto Ihsan Maritim Malaysia Perak
A
A

LUMUT - Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Perak menahan sebuah bot nelayan tempatan kelas A kerana melanggar syarat sah lesen kira-kira 0.4 batu nautika selatan Teluk Sekadeh di perairan Pulau Pangkor, di sini pada Jumaat.

Pengarahnya, Kepten Maritim Shahrizan Raman berkata, bot itu ditahan bot peronda setelah dilihat dalam keadaan mencurigakan di perairan itu kira-kira jam 6 petang.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati bot itu dikendalikan 13 kru termasuk tekong warga tempatan.

"Bot berkenaan dipercayai melakukan aktiviti menangkap ikan di bawah 3.0 batu nautika dengan menggunakan pukat jerut sebagai alat penangkapan ikan.

"Kesemua kru berusia dalam lingkungan 18 hingga 75 tahun bersama bot diiring ke Pusat Tahanan Vesel (PTV) Kampung Bharu, Sitiawan bagi tujuan siasatan dan tindakan lanjut," katanya dalam kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, mereka disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985.

"Penahanan ini membuktikan bahawa Maritim Malaysia sentiasa bersiap siaga dalam menguatkuasakan undang-undang bagi membendung kegiatan jenayah di laut meskipun masih dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Orang ramai diminta menyalurkan maklumat atau aduan jenayah maritim kepada Pusat Operasi Maritim Malaysia Perak di talian 05-6838737 atau MERS 999," katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!