X

Kindly register in order to view this article
!

Khamis | 30 Jun 2022

Kantoi sorok vape RM550,000 dalam semak

Taktik menyembunyikan cecair vape bernilai RM550,000 dalam kawasan semak sebelum diseludup ke negara jiran gagal apabila cubaan itu berjaya dipatahkan PGA Batalion 9 Kuala Terengganu.
A
A

RANTAU PANJANG - Taktik menyembunyikan cecair vape bernilai RM550,000 dalam kawasan semak di Kampung Degong, Telaga Mas, di sini sebelum diseludup ke negara jiran gagal apabila cubaan itu berjaya dipatahkan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 9 Kuala Terengganu pada Ahad.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 9, Superintendan Nor Azizan Yusof berkata, bertindak hasil maklumat awam, sepasukan anggota telah digerakkan ke lokasi untuk melakukan serbuan dan pemeriksaan pada jam 12.30 tengah malam.

"Hasil pemeriksaan di kawasan semak itu, PGA telah menemui beberapa buah kotak mengandungi cecair vape yang telah ditinggalkan di lokasi berkenaan," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Isnin.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas kotak-kotak itu di Kompeni Taktikal (Komtak) Taman Bakti membawa kepada penemuan 5,500 botol cecair vape.

 Setiap botol cecair vape berisi padu 50 ml.
Setiap botol cecair vape berisi padu 50 ml.

Katanya, setiap botol cecair vape itu berisi padu 50 mililiter (ml).

Nor Azizan berkata, kesemua barangan rampasan akan diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 13 (a) Akta Racun 1952.

"Siasatan awal yang dijalankan, kita percaya kesemua cecair vape tersebut cuba diseludup ke negara jiran menggunakan pangkalan haram yang terdapat di kawasan berkenaan.

"Penyeludup turut dikesan menukar taktik dengan menjadikan kawasan semak sebagai transit sementara sebelum membawa barangan itu ke negara jiran susulan kawalan ketat di sempadan Malaysia-Thailand oleh agensi keselamatan di negeri ini," katanya.

Nor Azizan berkata, kawalan sempadan di negeri ini akan terus diperketatkan bagi memerangi jenayah rentas sempadan dalam apa jua bentuk situasi serta keadaan.

Katanya, PGA mahu orang ramai terus memberikan kerjasama dengan pasukan keselamatan dalam usaha mengekang aktiviti jenayah sempadan di negeri ini.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!