Ubah mentaliti tahap profesional

ABDUL SHUKOR
ABDUL SHUKOR
A
A
A

Legenda bola sepak kebangsaan era 1970-an, Datuk Abdul Shukor Salleh menyarankan pemain bola sepak yang ada di negara ini mengubah mentaliti daripada tahap amatur kepada tahap profesional.

Abdul Shukor berkata, setiap pemain perlu sentiasa meningkatkan usaha dan kemahiran untuk lebih cemerlang dalam arena bola sepak demi kebaikan diri dan bukannya bergantung kepada jurulatih ketika latihan mahupun gaji semata-mata.

"Pemain sekarang perlu ubah mentaliti tersebut, bukan lagi bergantung kepada jurulatih sahaja atau duit (pendapatan) semata-mata...kena ada usaha daripada diri sendiri supaya lebih menyerlah... ini untuk kebaikan diri dan pasukan.

"Dengan ini, tidak mustahil arena bola sepak negara akan lebih menyerlah seperti zaman (pasukan kebangsaan) dulu-dulu," katanya kepada pemberita di kediamannya di George Town pada Ahad.

Terdahulu, Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (EX-PENANG) yang diketuai Presidennya, Radzuan Putah menyantuni Abdul Shukor sebagai menghargai jasa beliau dalam arena bola sepak negara.

Abdul Shukor yang kini mencecah usia 74 tahun berkata, cintanya yang mendalam terhadap arena bola sepak tidak pernah walaupun tahap kesihatannya kini sedikit merosot.

"Selama ini saya tidak mengalami penyakit kronik, cuma saya menghidap mild parkinson. Sejak insiden dua kali terjatuh minggu lalu, tulang pinggul saya sakit menyebabkan saya susah untuk bergerak," ujarnya yang bakal menghasilkan sebuah buku biografi diri dan rakan-rakannya dalam tempoh terdekat.

Beliau yang sinonim dengan jersi nombor enam masih aktif di belakang tabir selaku Penaung Kelab Penang Kickers dan antara pencapaian terbaiknya ialah membantu skuad Pulau Pinang muncul juara Piala Malaysia 1974 dan juara Liga Malaysia 1982.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Shukor percaya skuad Harimau Kumbang yang kini dibimbing Thomas Trucha mampu menjuarai Liga Super musim ini bersandarkan kepada prestasi yang ditunjukkan mereka dalam liga perlawanan awal musim ini.

"Saya memang ingin melihat Pulau Pinang menjadi pasukan yang digeruni sepertimana suatu masa dahulu. Pada tahun 1980-an, Pulau Pinang antara pasukan yang cukup digeruni.

"Dulu Pulau Pinang memang orang takut. Jadi saya harap pasukan yang ada sekarang mampu menjadi juara Liga Super. Jika pasukan berusaha, saya pasti impian itu boleh menjadi kenyataan," ujarnya yang terkenal dengan julukan Mr Cool.