Solat dan doa dalam TPI

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

ALLAH SWT mencipta manusia dan memberinya petunjuk menerusi para rasul dan nabi-Nya. Dia tidak membiarkan manusia sesat di perjalanan hayat tanpa taufik dan hidayah-Nya.

Insan diberi pilihan untuk hidup di dunia dengan cara yang diredai Tuhan atau cara yang disukai syaitan. Hidup Rabbani, yakni hayat yang diredai ALLAH SWT, memperoleh kebaikan di dunia dan akhirat.

Hidup syaitani, yakni hayat yang disukai syaitan musuh Tuhan dan insan, menempah dosa di dunia dan kesengsaraan di akhirat.

Menerusi solat, umat Muhammad SAW merealisasikan ketakutannya kepada ALLAH al-Mutakabbir, Tuhan Yang Maha Megah dan mempunyai segala kemegahan. Al-Khaliq Tuhan Sang Pencipta berhak bermegah dengan keesaan, kebolehan serta keagungan-Nya.

Makhluk Tuhan yang pertama sombong dan bermegah ialah iblis yang mempunyai sifat takabur. Insan yang bersifat riak dan takabur sebenarnya menjadi hamba syaitan walaupun insan ini mendakwa ia beriman kepada Tuhan.

Mukmin sejati bersikap prihatin terhadap imannya kepada ALLAH SWT serta Rasulullah SAW. Ketakwaan mukmin mengandungi elemen takut serta kasih kepada ALLAH. Manifestasi iman dan takwa ini ialah dalam bentuk penghayatan sunnah Nabi Muhammad SAW.

Solat, doa serta munajat ialah sebahagian daripada amalan sunnah Rasulullah SAW dan merupakan asas kepada Terapi Psikospiritual Islam (TPI) dan terapis (ahli terapi) yang mengamalkannya.

Solat mukmin mestilah menuruti sunnah Rasulullah SAW seperti yang diamalkan oleh Ahli Sunnah Wal-Jamaah. Kesahihan serta kesucian segala rukun dan tertib solat wajib dijaga. Kerapian serta kekhusyukkan amalan solat amat ditakuti dan dibenci oleh syaitan perosak hubungan dan hayat insan.

Artikel Berkaitan:

Pembacaan surah al-Fatihah mestilah dipelajari daripada guru yang betul dan sempurna tajwidnya. Bila surah ini sempurna dibaca dan ayatnya sudah difahami, maka kalbu solat menjadi kubu dan taman kehidupan di dunia yang penuh pancaroba ini.

Doa munajat lain serta gerak fizikal dalam solat akan menambah kekhusyukkan mukmin yang mendirikan ibadat yang teramat penting ini.

Ahli TPI wajib menjaga solat serta kalbunya. Insan yang tidak mementingkan amalan solat, kesucian kalbu, kebaikan amalan dan sifat mahmudah tidak layak menjadi ahli TPI.

Doa dan munajat yang bersumberkan al-Quran dan hadis merupakan sebahagian daripada rawatan kerohanian. Korpus doa yang dikumpulkan oleh ulama khalaf (yang terkemudian) dan salaf (yang terdahulu) banyak didapati dalam hidup kita kini.

Ahli TPI perlu belajar dan mengamalkan doa yang sahih dan ma’thūr yang diterima daripada Rasulullah ini.

Dengan keberkatan doa dan munajat yang sahih inilah ahli TPI membimbing dan mengajar klien atau pesakit yang memerlukannya.

Satu lagi pendekatan kerohanian dalam TPI ialah ruqyah shar‘iyyah atau metodologi yang shar‘i yang diajar oleh Rasullah SAW untuk mendoakan orang yang sakit.

Dalam rawatan jasad dan jiwa, kita perlu sedar bahawa kita mungkin berhadapan dengan komplikasi kesan sihir, al-‘ain (mata durjana) dan rasukan jin jahat.

Semua keadaan ini memerlukan perhatian yang rapi daripada ahli TPI. Respons positif kepada TPI ialah hasil daripada doa dan usaha terapis yang dimakbulkan oleh ALLAH SWT.

Etimologi istilah diagnosis menunjukkan asalnya daripada ‘dia’ (pemisahan) dan ‘gnosis’ (mengetahui). Diagnosis penyakit bermakna mengetahui cara memisahkan satu penyakit daripada penyakit yang lain.

Doktor perubatan, pakar psikiatri (yang juga doktor pengamal perubatan) dan pakar psikologi klinikal mempunyai kelayakan untuk mendiagnosis penyakit psikiatri atau mental dalam paradigma bio-psiko-sosio-spiritual yang holistik.

Terapis dalam bidang psikoterapi yang berkelayakan serta bertauliah juga belajar cara mendiagnosis penyakit mental.

Diagnosis yang tepat dilakukan dengan berdoa kepada ALLAH SWT ar-Rashid yang memandu insan ke arah jalan yang benar serta ilmu dan pengalaman. Ahli TPI tidak boleh sekali-kali sombong dengan ilmu dan pengalamannya.

* Profesor Datuk Dr Mohamed Hatta Shaharom ialah Presiden Persatuan Terapi Psikospiritual Malaysia