Hubungan manusia yang unik

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

PANDANGAN sarwajagat universal tetap mengakui bahawa manusia adalah kejadian makhluk yang paling unik, iaitu yang mampu mentadbir alam ini dengan kemajuan yang sering meningkat, seperti yang dapat disaksikan pada hari ini, apabila manusia telah berjaya menguasai sehingga ke angkasa lepas yang luas terbentang, bukan hanya di sekitar dunia lahir di sekitar alam bawahan ini sahaja.

Bagi umat Islam, hal ini amat pantas difahami kerana al-Quran telah menjelaskannya dalam (Surah Al-Tin (94) ayat 4-6) bahawa ALLAH SWT telah mencipta manusia sebagai makhluk yang paling sempurna dan amat unik dari segi pemikiran dan kemampuan luaran dan dalamannya.

Kerana itu ALLAH dengan kesempurnaan-Nya telah memberikan segala persiapan rohani dan jasmani kepada manusia untuk hidup di dunia ini sebagai makhluk yang paling sempurna.

Satu hakikat yang tidak dinafikan dalam budaya manusia ialah perhubungan dan persatuan di antara sesama manusia seluruhnya di atas muka bumi ini.

Menurut ahli ilmu jiwa dan sarjana lain juga, manusia mempunyai kaitan sesama mereka, sama seperti keperluan mereka untuk air dan udara, makanan dan minuman.

Kajian menunjukkan bahawa tanpa perhubungan ini untuk sekian lama, maka manusia akan merasa amat tertekan, yang bukan hanya merupakan penyakit dalaman, malah menyebabkan kesakitan luaran dan jasmaninya juga.

Oleh kerana manusia juga terbentuk daripada jasmani dan rohani, oleh itu apabila manusia mengalami kesakitan emosi yang lama, maka penyakit itu akan memberikan kesan buruk kepada perasaan dalamannya, yang sering menimbulkan salah laku, kekejaman dan tindakan yang luar biasa.

Dalam keadaan inilah manusia yang mengalami krisis luaran dan dalaman memerlukan perhubungan sesama sendiri yang baik dan menghiburkan.

Di negara kita sendiri keadaan adalah sama juga, iaitu ketika kegelisahan serangan Covid-19 ini, maka rakyat yang biasanya sering menghayati pergaulan sosial yang biasa sering terganggu kehidupan jiwa dan dalaman mereka, sehingga agak sukar bagi sebahagian kecil di antara mereka untuk mengamalkan kehendak SOP yang dikenakan.

Artikel Berkaitan:

Dengan itu, umat Islam yang sering berkumpul dan beribadat di surau dan masjid juga sering menimbulkan rasa sedih kerana tidak dapat bersama-sama lagi seperti yang berlaku pada jangka masa hampir satu tahun yang lalu.

Dalam situasi beginilah, ingin saya menekankan bahawa bagi umat Islam, sebenarnya hal ini tidaklah sepatutnya mengganggu perasaan dan kesakitan mereka yang parah dan merbahaya, kerana dalam Islam, perhubungan yang amat bermakna bagi mereka bukan hanya perhubungan dengan manusia sesama sendiri semata-mata, malah bagi mereka perhubungan yang utama sekali ialah dengan Penciptanya iaitu ALLAH SWT.

Al-Quran menegaskan bahawa “Tidak Ku jadikan jin dan manusia kecuali untuk mereka menyembah-Ku.” Surah Az-Zariyat (51) Ayat 56)

Malah, dalam konteks lain, ALLAH juga berfirman: “Mereka tidak diperintahkan kecuali supaya menyembah ALLAH dengan mengikhlaskan ibadat kepadanya, lagi tetap teguh di atas tauhid, dan supaya mereka mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat, dan yang demikian itulah agama yang benar.” (Surah Al-Bayyinah (98) Auat 5)

Sebab itulah ketika ALLAH menyebutkan dalam Surah Al-Tin di atas bahawa ALLAH telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya, tetapi terdapat juga di antara mereka yang telah turun ke peringkat yang paling rendah sekali dalam hidup mereka. Sebab itulah ALLAH mengingatkan lagi mereka bahawa manusia yang mempunyai kualiti ialah orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

Inilah sebenarnya hidup manusia yang bermakna dan penuh berintegriti iaitu perhubungan dengan ALLAH dan sesama manusia.

* Datuk Wira Dr Ismail Ibrahim ialah Ahli Lembaga Institut Integriti Malaysia