X

Kindly register in order to view this article
!

Ahli Pas jangan cepat melatah

Badzli Bakar
A
A

SEREMBAN - Pas Negeri Sembilan mengingatkan semua ahlinya agar tidak cepat melatah dengan pelbagai kenyataan terhadap parti itu yang memilih menyertai Perikatan Nasional (PN).

Ketua Penerangannya, Badzli Bakar berkata, Pas perlu terus mengamalkan budaya politik matang dan sejahtera dengan terus berpegang kepada agenda penyatuan ummah.

"Memang ada sedikit sebanyak yang berasa hati bila Pas disindir dalam Perhimpunan Agung UMNO. Tapi bagi saya itu sekadar pandangan peribadi bukannya pendirian parti UMNO.

"Kita ikut sikap Pas Pusat walau apa jua rintangan kita perlu terus teguh dan bersabar kerana fokus kita sekarang adalah perkukuhkan Muafakat Nasional (MN) dan mempertahankan PN," katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mempersoal pendirian Pas berhubung kenyataan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memberi bayangan akan mempertahankan semua kerusi pernah ditandingi parti itu pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Mengulas lanjut Badzli berkata, bukan mudah untuk membentuk penyatuan tetapi mudah untuk mengundang perpecahan.

Justeru, beliau berharap keputusan Pas untuk bersama Bersatu dalam PN tidak terus dipersoalkan.

"Di peringkat Pas Negeri Sembilan, kita sangat selesa dengan hubungan baik kedua-duanya UMNO dan Bersatu.

"Dengan MN kita sedang rangka program bersesuaian misalnya menggunakan medium dalam talian dan turun pandang manakala dengan PN, kita bergerak bersama lebih kepada program kebajikan," katanya.

Selain itu beliau turut berharap penyatuan Pas dengan UMNO dan Bersatu bukan sahaja dapat menguatkan Pas di Negeri Sembilan tetapi juga keseluruhan parti orang Melayu-Islam.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda UMNO persoal pendirian Pas


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!