Daripada rakyat kepada rakyat

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

DARIPADA rakyat kepada rakyat’ bukanlah satu tema politik atau manifesto parti politik yang akan bertanding dalam pilihan raya umum. Ini merupakan slogan yang terpampang pada dinding van ambulans Yayasan Kaseh Kanser dan Kronik (YKKK) bagi menggambarkan hasrat YKKK yang ingin berbakti kepada masyarakat sekitar.

Nama YKKK bukanlah asing di Kelantan, terutama di sekitar Kota Bharu kerana ia sememangnya dikenali sebagai pertubuhan yang aktif dengan kerja-kerja amal dan kebajikan bagi menyantuni masyarakat miskin dan daif, lebih-lebih lagi mereka yang menderita sakit kanser dan kronik. Kini, YKKK telah melangkah lebih jauh lagi setelah melancarkan dua unit ambulans.

Salah satu ambulans tersebut merupakan sumbangan syarikat TDC Holdings Sdn Bhd yang sinonim dengan produk susu kolostrum C2Joy dan dimiliki seorang Cina Muslim bernama Hafiz Hiew.

Pada saat banyak syarikat mengalami kerugian dan ada yang gulung tikar, rezeki syarikat Hafiz Hiew semakin bertambah kerana beliau suka bersedekah serta memberikan sumbangan, dengan nilai yang bukannya kecil.

Kembali kepada ambulans YKKK, antara tujuan utamanya adalah bagi membantu golongan asnaf yang tidak berkemampuan. Perkhidmatan ambulans bukannya murah dan ia amat diperlukan bagi pesakit terlantar yang perlu menghadiri janji temu di hospital. Berapakah kos perkhidmatan ambulans secara purata?

Sebuah hospital swasta yang terletak di Bandar Baru Bangi ada mengiklankan perkhidmatan ambulans mereka di laman web.

Bayaran yang dikenakan bagi 20 kilometer pertama bermula dengan harga RM200 (RM250 jika selepas waktu kerja) manakala setiap 1km berikutnya dikenakan bayaran tambahan RM5 untuk setiap kilometer. Surcaj sebanyak RM20 turut dikenakan jika perlu tenaga bagi menolak katil dari ambulans ke klinik atau hospital terbabit. Surcaj sebanyak RM30 sejam juga dikenakan jika perlu menunggu pesakit sehingga selesai.

Mahal atau tidak? Pendek kata, jangan jatuh sakit jika tiada kemampuan kewangan. Kenapa mahal? Kerana harga ambulans dan kelengkapannya adalah sekitar RM200,000 satu unit manakala sekitar RM15,000 pula diperlukan bagi tujuan penyelenggaraan termasuk gaji pemandu, pembantu perubatan serta kos-kos lain. Itu untuk satu ambulans.

Artikel Berkaitan:

Walaupun menghadapi kos yang tinggi, YKKK tetap beriltizam untuk membantu golongan asnaf dengan segala urusan penghantaran pesakit ditanggung sepenuhnya tanpa sebarang caj. Bagi memudahkan pentadbiran, mereka yang berdaftar dengan e-kasih akan mendapat perkhidmatan ambulans percuma.

Bagaimana pula dengan golongan sederhana mampu? Bagi mereka yang pernah menerima Bantuan Sara Hidup (BSH), bayaran yang dikenakan adalah RM80 atau seberapa yang mampu dibayar. Sekurang-kurangnya dapat menampung kos petrol ambulans.

Bagi mereka yang mampu atau golongan M40, bayaran yang dikenakan adalah sebanyak RM120 dengan kos penghantaran RM1 untuk setiap kilometer, pergi dan balik. Bayaran yang dikenakan masih murah jika dibandingkan dengan perkhidmatan ambulans swasta.

Selain YKKK, ada juga NGO lain yang menawarkan perkhidmatan ambulans percuma kepada masyarakat yang tidak berkemampuan. Jika kita tidak dapat atau mampu buat kerja mulia seperti ini, sekurang-kurangnya berilah sumbangan kepada mereka agar perkhidmatan ambulans percuma sebegini dapat diteruskan.

* Dr Johari Yap ialah Pensyarah Pusat Pengajian Sains Pergigian, Universiti Sains Malaysia merangkap Naib Presiden Macma Malaysia