UMNO-Bersatu tidak boleh diselamatkan

No Image Caption
A
A
A

PERHIMPUNAN Agung UMNO yang berlangsung dua hari di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur yang berakhir semalam telah melontarkan isyarat jelas bahawa hubungan antara parti itu dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tidak boleh diselamatkan lagi.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika menyampaikan Ucapan Dasar Presiden berkata, keputusan parti itu tidak bekerjasama dengan Bersatu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang adalah muktamad, malah UMNO juga menolak pembentukan gabungan politik bersama Perikatan Nasional (PN).

Ucapan Ahli Parlimen Bagan Datuk itu menjawab persoalan yang UMNO dan Barisan Nasional (BN) akan bertanding secara bersendirian pada PRU15 sekali gus memberi pencerahan bahawa hubungan UMNO dalam PN berakhir dengan ‘talak tiga’ apabila Parlimen dibubarkan.

Keputusan itu kata Ahmad Zahid, bagi membolehkan UMNO kembali menjadi kuasa politik dominan selepas PRU15 dengan memenangi sebanyak kerusi yang boleh.

Sebenarnya hubungan kedua-dua parti Melayu itu ibarat retak menunggu belah sahaja kerana masing-masing mencurigai keikhlasan antara satu sama lain, apatah lagi beberapa pemimpin UMNO menyertai Bersatu selepas PRU14.

Walaupun daripada acuan sama, UMNO dan Bersatu dalam PN ibarat tidur sebantal tetapi mimpi berbeza kerana kedua-duanya sering bercakaran terutama tindakan beberapa pemimpin Bersatu yang mahu meletakkan calon bertanding di kerusi yang dimenangi UMNO dan BN sebelum ini.

Tidak guna bersama jika asyik bercakaran. Tumpuan sekarang kepada Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk mencari cahaya di hujung terowong walaupun telah memberi isyarat di Pagoh kelmarin bahawa Bersatu dan UMNO memang tidak boleh bersama kerana parti juga akan bertanding di semua kerusi UMNO.

Sekiranya berjaya memperoleh majoriti dua pertiga, UMNO dan BN mampu menjadi kerajaan semula. Ketika ini tiada satu parti pun yang mempunyai majoriti besar. Pilihan di tangan rakyat, biar rakyat yang menentukan.

Artikel Berkaitan: