Ibu ugut AADK guna parang halang tahan dua beradik

Pegawai penguat kuasa AADK memeriksa beg milik suspek yang ditahan dalam Ops Perdana pada Ahad. -Foto: ihsan AADK Perak.
Pegawai penguat kuasa AADK memeriksa beg milik suspek yang ditahan dalam Ops Perdana pada Ahad. -Foto: ihsan AADK Perak.
A
A
A

LARUT - Seorang wanita berusia 60-an mengugut dengan menggunakan sebilah parang bagi menghalang penguat kuasa Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Perak menahan dua anak lelakinya dalam serbuan Ops Perdana di Batu Kurau pada Ahad.

Dalam serbuan itu, pegawai AADK mengambil masa lebih 30 minit memujuk ibu terbabit supaya memberi kerjasama dan pada masa sama, beberapa pegawai lain telah mengepung rumah tersebut.

Dua beradik berusia 18 dan 20 tahun itu akhirnya berjaya ditahan ketika cuba meloloskan diri melalui bumbung rumah.

Penolong Pengarah Penguatkuasaan AADK negeri, A Rueben berkata, hasil siasatan mendapati kedua-dua suspek merupakan penagih tegar yang dikehendaki selepas berjaya meloloskan diri dalam beberapa serbuan sebelum ini.

"Kerjasama daripada ahli keluarga penting dalam membantu proses pemulihan bagi seseorang penagih dadah.

"Jika sikap ahli keluarga mempertahankan suspek akan menyukarkan seseorang penagih itu untuk pulih daripada gejala dadah," katanya.

Ops Perdana AADK Perak dijalankan di kawasan LMS dalam membanteras penagihan dan pengedaran dadah. - Foto: ihsan AADK Perak
Ops Perdana AADK Perak dijalankan di kawasan LMS dalam membanteras penagihan dan pengedaran dadah. - Foto: ihsan AADK Perak

Menurutnya, operasi selama dua hari bermula Sabtu di Daerah Larut, Matang dan Selama (LMS) itu berjaya menahan 36 lelaki termasuk seorang tokan dadah.

Artikel Berkaitan:

"Tokan berusia 45 tahun itu ditahan bersama 55.29 gram dadah disyaki morfin yang dianggarkan bernilai hampir RM1,000 mengikut harga pasaran gelap.

"Suspek diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Rueben berkata, 35 suspek lain berusia 16 hingga 56 tahun didapati positif dadah jenis ganja, morfin, syabu menerusi ujian saringan awal air kencing.

"Kesemua tangkapan akan disiasat mengikut Seksyen 3(1) Akta Penagih Dadah 1983 pindaan 1998.

"Usaha membanteras penagihan dan pengedaran dadah di kawasan LMS akan diperhebatkan dari masa ke masa demi kesejahteraan penduduk kawasan itu," katanya.