PBAPP bantu bekal air kepada Kedah

PBAPP bersetuju untuk mengerahkan anggota dan asetnya untuk membantu rakyat di negeri itu dalam menjalankan projek kerja-kerja air kecemasan di Kedah.
PBAPP bersetuju untuk mengerahkan anggota dan asetnya untuk membantu rakyat di negeri itu dalam menjalankan projek kerja-kerja air kecemasan di Kedah.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 26 anggota 60 Rejimen Pakar Air Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Skuadron Pulau Pinang terlibat dalam misi muhibah untuk membantu rakyat Kedah yang memerlukan bantuan bekalan air segera.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Jaseni Maidinsa berkata, PBAPP bersetuju untuk mengerahkan anggota dan asetnya melakukan kerja pemasangan paip kecemasan di Kota Setar, Gurun, Bukit Selambau dan Pendang.

Menurutnya, daripada 26 anggota itu, 24 daripada PBAPP manakala dua yang lain dari Pejabat Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) Wilayah Utara.

"Skuadron ini juga terlibat dalam pengagihan air terawat melalui lori tangki air dari 21 Mac hingga 4 April ini kepada 30,000 pengguna di Gurun, Merbok, Tanjung Dawai, Semeling dan Sungai Lalang.

"PBAPP juga telah menghantar lori tangki air 5,000 liter, dua buah van dan sebuah kenderaan pacuan empat roda ke Kedah," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

60 RAJD Skuadron Pulau Pinang sedang melakukan kerja pemasangan paip di beberapa kawasan di Kedah.
60 RAJD Skuadron Pulau Pinang sedang melakukan kerja pemasangan paip di beberapa kawasan di Kedah.

Jaseni berkata, latihan kerahan untuk berkhidmat (LKUB) itu sebagai respons kepada permohonan bantuan daripada operator bekalan air Kedah, Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA)kepada Tentera Darat Malaysia.

"SADA telah memohon pengaktifan 60 RAJD untuk menjalankan kerja pemasangan paip kecemasan dan pengagihan bekalan air. Oleh itu, kita bersama skuadron RAJD lain dari Kedah, Pahang dan Selangor akan melakukan kerja pemasangan paip air bersaiz 180 milimeter sepanjang 1 kilometer di Kampung Tanah 100 di daerah Kota Setar.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, pemasangan saluran paip 125mm sepanjang 50 meter (m) di Kampung Risda di Gurun, pemasangan paip air 125mm sepanjang 200m di Kampung Anak Ikan, Bukit Selambau untuk menggantikan paip lama yang pecah," katanya.

Beliau berkata, pemasangan saluran paip 125mm sepanjang 150m di Kampung Bukit Chengal, Pendang dan pemasangan saluran paip air 180mm sepanjang 450m di Kampung Bendang Bukit, Pendang turut dilakukan.