Koperasi lonjak pendapatan pekebun kecil

Khairuddin (tengah) pada sidang media di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.
Khairuddin (tengah) pada sidang media di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.
A
A
A
KUALA NERANG - Semua pekebun kecil getah di negara ini digalakkan untuk bergerak di bawah koperasi di kawasan masing-masing dalam usaha meningkatkan pendapatan mereka melalui penghasilan getah krip.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali berkata, setiap koperasi akan dibantu oleh Lembaga Getah Malaysia (LGM) dengan pemberian sebuah mesin getah krip bernilai RM300,000 dan juga modal pusingan sebanyak RM140,000.

Menurutnya, buat permulaan pihaknya mensasarkan sebanyak 20 koperasi akan menyahut seruan ini yang berada di bawah Projek Transformasi Perusahaan Industri Getah (Target).

"Dana awalan sebanyak RM6 juta di bawah LGM disediakan untuk 20 koperasi pertama ini dan bagi koperasi-koperasi lain akan disediakan dana-dana lain pula.

'Minimum penyertaan setiap koperasi sekurang-kurangnya adalah 40 peserta dan lebih ramai yang menyertai lebih baik kerana mereka memerlukan sekurang-kurangnya lima tan getah sekerap sebulan untuk dijadikan getah krip yang harganya lebih tinggi," katanya pada sidang akhbar di Dewan Kompleks Pejabat Agama Daerah Padang Terap, Kuala Nerang pada Ahad.

Mengulas lanjut, beliau berkata, projek ini secara keseluruhannya dirancang bagi menjayakan transformasi pekebun kecil dengan merealisasikan rantaian nilai bersepadu bekalan getah berskala komersial dengan pendekatan pemprosesan berkelompok (kluster) dan perkongsian keuntungan secara bersama di peringkat pekebun kecil, koperasi dan usahawan.

"Setakat ini sudah ada koperasi yang aktif namun ada juga koperasi yang tidak aktif. Kita mahu menggerakkan koperasi-koperasi ini kerana jika tidak aktif ia akan merugikan negara," katanya.

Mohd Khairuddin berkata, LGM akan turun padang membantu dengan mengadakan kursus bagi pengurusan koperasi dan sebagainya.

"Kita mahu setiap koperasi disertai oleh ramai pekebun kecil getah kerana koperasi memerlukan hasil getah yang banyak dan pulangan hasilnya juga akan banyak dan kita harap-harap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dapat membantu menghebahkan tentang perkara ini," katanya.
Artikel Berkaitan:


Jelasnya, kementerian dan LGM amat prihatin serta komited untuk meningkatkan mutu serta daya saing industri getah negara melalui pengenalan teknologi-teknologi yang bernilai tambah dan boleh dimanfaatkan oleh pihak industri dan pekebun kecil.