Peniaga maut langgar kedai selepas diserang sakit jantung

Keadaan Perodua Kembara yang dipandu mangsa selepas terbabas dan melanggar sebuah kedai di KM93 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Ihsan PDRM
Keadaan Perodua Kembara yang dipandu mangsa selepas terbabas dan melanggar sebuah kedai di KM93 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur pada Ahad. - Foto Ihsan PDRM
A
A
A

MARAN - Seorang peniaga maut apabila kenderaan jenis Perodua Kembara yang dipandunya terbabas lalu melanggar sebuah kedai selepas mengalami serangan jantung di Kilometer (KM) 93 Jalan Kuantan - Kuala Lumpur pada Ahad.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 pagi itu, mangsa, Khairuman Ha'usin, 58, beralamat di Kampung Tanjung Kerayung, Mentakab meninggal dunia di tempat kejadian manakala isterinya, Darwati Hassan, 48, terselamat dan tidak mengalami kecederaan.

Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Norzamri Abd Rahman memberitahu, siasatan awal yang dijalankan mendapati mangsa bersama isterinya dalam perjalanan dari rumahnya untuk berniaga di Pekan Sehari Maran.

Menurutnya, apabila sampai di tempat kejadian, mangsa dipercayai tiba-tiba telah hilang kawalan lalu terbabas ke kanan jalan dan melanggar sebuah kedai.

"Akibat dari kemalangan itu, mangsa telah meninggal dunia di tempat kejadian.

"Hasil bedah siasat oleh pegawai perubatan dari Hospital Jengka mengesahkan mangsa meninggal dunia akibat serangan jantung," katanya pada Sinar Harian,Ahad.

Jelasnya, kes masih disiasat dan pihak polis sedang mengesan saksi-saksi kejadian bagi membantu siasatan.

Artikel Berkaitan: