Sila log masuk terlebih dahulu.

Legenda negara bakar semangat Harimau Kumbang

Abdul Shukor (dua dari kiri) bersama Radzuan (dua dari kanan) dan beberapa ahli Ex-Penang melihat keratan akhbar yang menyiarkan berita tentang kejayaannya dalam arena bola sepak.
Abdul Shukor (dua dari kiri) bersama Radzuan (dua dari kanan) dan beberapa ahli Ex-Penang melihat keratan akhbar yang menyiarkan berita tentang kejayaannya dalam arena bola sepak.
A
A
A

"SAYA nak tengok skuad Pulau Pinang diangkat sebagai juara Liga Super tahun ini." Itu kata legenda kebangsaan, Datuk Abdul Shukor Salleh ketika diajukan tentang harapannya terhadap skuad Harimau Kumbang yang membuat penampilan di pentas Liga Super musim ini.

Abdul Shukor berkata, bukan sesuatu yang mustahil buat Pulau Pinang menjuarai Liga Super bersandarkan kepada prestasi yang ditunjukkan mereka dalam liga perlawanan awal musim ini.

Malah, beliau percaya kejayaan Pulau Pinang menjuarai Liga Premier musim lalu mampu menjadi azimat terbaik skuad kendalian Thomas Trucha itu menyambar trofi Liga Super kali ini.

"Saya memang ingin melihat Pulau Pinang menjadi pasukan yang digeruni sepertimana suatu masa dahulu. Pada tahun 1980-an, Pulau Pinang antara pasukan yang cukup digeruni.

"Dulu Pulau Pinang memang orang takut. Jadi saya harap pasukan yang ada sekarang mampu menjadi juara Liga Super. Jika pasukan berusaha, saya pasti impian itu boleh menjadi kenyataan," katanya ketika ditemui di kediamannya di Bagan Jermal di Georgetown pada Ahad.

Terdahulu, Persatuan Bekas Pemain Bola Sepak Pulau Pinang (Ex-Penang) yang diketuai Presidennya, Radzuan Putah menyantuni Abdul Shukor sebagai menghargai jasa beliau dalam arena bola sepak negara.

Abdul Shukor yang kini mencecah usia 74 tahun berkata, cintanya yang mendalam terhadap arena bola sepak tidak pernah walaupun tahap kesihatannya kini sedikit merosot.

"Selama ini saya tidak mengalami penyakit kronik, cuma saya menghidap parkinson yang ringan (mild parkinson). Disebabkan itu, saya terjatuh dua kali minggu lalu.

Artikel Berkaitan:

"Sejak insiden itu, tulang pada bahagian pinggul saya sakit menyebabkan saya untuk bergerak. Saya memerlukan pertolongan isteri selain perlu menggunakan kerusi roda," ujarnya yang terkenal dengan gelaran Mr Cool.

Dalam pada itu, Abdul Shukor berkata, beliau bersama beberapa pihak sedang menyiapkan sebuah buku biografi mengenai dirinya bersama beberapa atlet negara yang lain untuk dipasarkan.

"Buku itu sedang disiapkan dan insya-ALLAH akan dilancarkan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri nanti.

"Buku yang bertajuk Lagenda menghimpunkan kisah suka duka saya serta rakan atlet lain untuk dibaca oleh peminat kami. Ia menjadi buah tangan saya kepada peminat sukan serta bola sepak negara," katanya.

Abdul Shukor merupakan kapten skuad Harimau Malaya pada tahun 1970-an dan telah mengemudi pasukan bola sepak Pulau Pinang sebagai pengurus, jurulatih dan kapten pada 1981.

Sinonim memakai jersi nombor enam, antara pencapaian terbaiknya adalah membantu skuad Pulau Pinang muncul juara Piala Malaysia 1974 dan juara Liga Malaysia 1982.