X

Kindly register in order to view this article
!

Cadang UMNO Sabah terus bersama kerajaan sehingga PRN

Abdul Rahman Dahlan mencadangkan supaya keberadaan UMNO Sabah dalam kerajaan negeri sehingga PRN.
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan mencadangkan kepada Presiden parti, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi agar keberadaan UMNO Sabah dalam kerajaan negeri diteruskan sehingga Pilihan Raya Negeri (PRN).

Beliau berkata, bagaimanapun dalam konteks Parlimen beliau akur dengan sebarang keputusan Perhimpunan Agung UMNO di peringkat Persekutuan.

"Ia berbalik kepada definisi autonomi Sabah pada pertengahan 2018 apabila Barisan Nasional (BN) tewas dan saya telah bertemu dengan presiden agar autonomi Sabah diberikan kepada Sabah (dalam konteks politik).

"Kami berbincang lebih dua jam dan UMNO Sabah meminta kelonggaran bagi menentukan hala tuju UMNO Sabah. Ia bukan bermakna UMNO Sabah bebas daripada arahan pusat tetapi ada sedikit kelonggaran mengikut kuasa autonomi.

"Majlis Kerja Tertinggi UMNO telah putuskan bahawa dalam pilihan raya peringkat Parlimen, autonomi ini bukan tidak terpakai tetapi pusat yang menentukan. Namun untuk bentuk kerajaan negeri seperti PRN baru-baru ini, autonomi itu relevan," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Ahad.

Beliau berkata, berdasarkan situasi semasa UMNO yang memutuskan kerjasama dengan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu), Gabungan Rakyat Sabah di negeri itu masih boleh dibentuk sekiranya mengambil kira kuasa autonomi.

"Sejarah Sabah agak unik dan pernah berlaku apabila USNO serta PBS merupakan rakan di peringkat Pusat tetapi USNO menjadi pembangkang.

"Maknanya kita kawan di peringkat pusat dan kali ini mungkin terbalik," katanya.

Jelasnya, UMNO Sabah mempunyai tahap disiplin yang tinggi dan yakin semua pihak akan akur dengan keputusan dibuat pada perhimpunan agung.

"Politik terlalu dinamik dan katakan UMNO kembali menerajui kerajaan Persekutuan, itu juga akan memberi kesan di peringkat negeri dan kita tidak tahu apa akan berlaku pada Pilihan Raya Umum Ke-15," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!